Lagi kes dera taska: Polis tahan wanita disyaki kasari kanak-kanak lelaki

POLIS menahan seorang wanita kerana dipercayai terlibat mengasari seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bukit Setongkol, di Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, penahanan suspek berusia 31 tahun itu dibuat susulan rakaman video yang tular di media sosial yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki dikasari seorang wanita.

“Kami turut menerima satu laporan berkaitan video tular itu jam 10.34 pagi ini. Hasil siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku pada 11 Ogos lalu.

“Rakaman video berkenaan memaparkan mangsa berusia dua tahun lapan bulan dimarahi, ditarik rambut dan digoncang kepala oleh seorang wanita yang juga kakitangan taska terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan untuk pemeriksaan dan setakat ini, tiada kecederaan fizikal serius dilaporkan terhadap mangsa.

Namun menurut beliau, pemeriksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut  Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ashari turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa memandangkan kes itu membabitkan kanak-kanak.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di talian 09-565 2222 atau balai polis berhampiran.

Ini merupakan kejadian kedua penderaan kanak-kanak di taska di Pahang. Media hari ini melaporkan, polis membuka kertas siasatan susulan penularan rakaman video di media sosial yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dikasari pengasuh di sebuah taska di Mentakab baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron dilaporkan berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berkaitan kejadian itu semalam.

Beliau berkata, polis turut menerima laporan daripada ibu kanak-kanak terbabit yang berusia 29 tahun, kira-kira jam 6 petang semalam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here