ANGGOTA penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang wanita yang membuat pengisian petrol bersubsidi secara berulang dalam kegiatan penyelewengan bahan api di Chabang Empat, Tumpat semalam.
Wanita berusia 59 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.05 pagi menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang dijalankan anggota penguat kuasa KPDN bersama Pasukan Polis Marin.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pihaknya mengesan wanita berkenaan membuat pengisian petrol berulang kali di sebuah stesen minyak di Chabang Empat sebelum ditahan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan terbabit mendapati kereta jenis Perodua Kenari yang diubah suai dengan tangki khas bagi tujuan menyimpan petrol.
“Kita turut menyita sebanyak 50 liter petrol yang disedut keluar daripada tangki ubah suai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM5,000 membabitkan kenderaan dan petrol yang dirampas.
Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
“KPDN Kelantan memberi amaran tegas bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya di kawasan sempadan,” katanya.


