USAHA memperkukuh bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu memastikan bakat muda bukan sahaja dikenal pasti, malah terus dibimbing dan diberi ruang untuk berkembang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan, sekolah, universiti, industri dan komuniti perlu memainkan peranan bersama dalam memastikan potensi generasi muda dalam bidang berkenaan dapat dikembangkan.
Katanya, cabaran ketika ini bukan hanya untuk menggalakkan lebih ramai murid memilih STEM, tetapi memastikan mereka terus bertahan, berkembang dan berjaya dalam bidang berkenaan.
“Kerajaan, sekolah, universiti, industri dan komuniti perlu memastikan bakat muda bukan sahaja dikenal pasti, tetapi terus dibimbing dan diberikan ruang untuk berkembang,” katanya.
Beliau berkata, masih terdapat jurang antara minat terhadap STEM dengan kesediaan murid untuk mendalaminya, dengan penyertaan dalam bidang sains tulen ketika ini sekitar 15.8 peratus.
Sehubungan itu, beliau mahu jumlah pendaftaran murid dalam bidang STEM terus diperkasakan bagi meningkatkan penyertaan generasi muda dalam bidang yang penting kepada pembangunan negara.
Anwar berkata, guru turut memainkan peranan besar dalam usaha berkenaan, bukan sekadar sebagai penyampai ilmu tetapi sebagai pencetus rasa ingin tahu dan pembina keyakinan generasi muda.
“Dalam hal ini, guru memainkan peranan amat besar, bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pencetus rasa ingin tahu dan pembina keyakinan generasi muda,” katanya.
Menurut beliau, bakat dalam bidang STEM boleh ditemukan di mana-mana, namun peluang untuk mengembangkan bakat berkenaan perlu turut diperluaskan.
“Bakat ada di mana-mana. Tanggungjawab kita ialah memastikan peluang juga ada di mana-mana, selain usaha memperkukuh pendidikan STEM mesti menjadi usaha bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang sempena Peringkat Akhir Cabaran Sains Kebangsaan Piala YAB Perdana Menteri di sini, hari ini.





