Bekas Pengarah Besar FELDA direman lima hari

BEKAS Pengarah Besar FELDA direman lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di ibu negara serta urusan penjualan tanah milik badan berkanun itu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Lelaki berusia 60-an itu tiba di mahkamah kira-kira jam 9.15 pagi sebelum dilihat meninggalkan mahkamah kira-kira dua jam kemudian.

Semalam, beliau bersama seorang lagi individu ditahan kira-kira jam 4 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Difahamkan, seorang lagi individu yang turut ditahan mengalami masalah kesihatan dan kini menerima rawatan di hospital.

Menurut sumber, permohonan reman terhadap individu berkenaan akan dilakukan SPRM di hospital terbabit.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman memaklumkan tujuh kertas siasatan dibuka agensi itu minggu lalu.

Siasatan berkenaan membabitkan dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Operasi khas dikenali sebagai Op Fella itu memberi tumpuan terhadap transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA dan FIC.

Siasatan berkenaan meliputi tempoh 10 tahun antara 2010 hingga 2020.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here