LEBIH satu hektar kawasan lalang berhampiran bangunan kondominium di Lido Beach Country Garden, Johor Bahru, terbakar malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Noor Azhan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.06 malam.
Menurutnya, operasi pemadaman mengambil masa lebih dua jam sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Kebakaran dipadamkan sepenuhnya jam 11.35 malam dan tiada kecederaan atau mangsa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, video berdurasi 21 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial.
Menerusi video berkenaan, kelihatan api marak membakar kawasan lalang yang dikelilingi beberapa bangunan termasuk kediaman bertingkat.
Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.





