YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan penamatan pengisytiharan darurat bagi seluruh bahagian Serian, Sarawak yang sebelum ini diisytiharkan susulan keadaan jerebu.
Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, perkenan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pandangan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan turut mengambil kira laporan daripada agensi berkaitan mengenai perkembangan keadaan jerebu di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan, khususnya Serian dan Samarahan, masih berada pada tahap amat tidak sihat.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak akan terus memantau keadaan dengan rapi dan penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim, memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.





