DUN Melaka dijangka bubar akhir bulan ini

KETUA Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mungkin  dibubarkan menjelang akhir bulan ini.

Ketika berucap pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Sungai Udang hari ini, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, pembubaran DUN akan dibuat dalam tempoh `dua kali Jumaat’ lagi.

“Tak lama lagi (akan bubar). Saya kata hari itu empat kali Jumaat lagi, (tetapi kini) dah tinggal dua kali Jumaat saja,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu Ab Rauf mempercepatkan pengumuman pembubaran DUN Melaka bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau dilaporkan berkata, pengumuman berkenaan tidak seharusnya ditangguhkan terlalu lama kerana rakyat, khususnya golongan muda perlu diberikan ruang untuk menentukan hala tuju dan masa depan negeri berkenaan.

Pada PRN lalu, BN kekal memerintah Melaka selepas menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan manakala Perikatan Nasional (2 kerusi) dan PH (5 kerusi).

Daripada 21 kerusi itu, 11 daripadanya dimenangi dengan majoriti bawah 1,000 undi iaitu Tanjong Bidara (364 undi), Rembia (860 undi), Gadek (559 undi), Machap Jaya (938 undi), Durian Tunggal (559 undi), Serkam (79 undi), Pantai Kundor (827 undi), Paya Rumput (629 undi), Klebang (876 undi),Pengkalan Batu (200 undi) dan Duyong (200 undi).

Manakala 10 kerusi BN menang atas 1,000 undi iaitu Kuala Linggi (1,836 undi), Ayer Limau (1,085 undi), Lendu (4,016 undi), Taboh Naning (1,825 undi), Asahan (2,993 undi), Telok Mas (2,076 undi), Ayer Molek (2,802 undi), Rim (1,327 undi), Merlimau (3,248 undi) dan Sungai Rambai (1,137 undi).

PRN kali ini merupakan kali pertama Ab. Rauf yang menang kerusi DUN Tanjong Bidara akan mengetuai  BN mempertahankan pemerintahan di negeri tersebut. Selain itu turut menjadi tumpuan siapakah yang akan menjadi pilihan BN untuk bergandingan.

Selepas kejayaan PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, Ahmad Zahid memberi bayangan akan meneruskan gelombang biru yang merujuk kerjasama BN-PN di Melaka. Bagaimanapun keputusan muktamad akan dibuat selepas DUN dibubarkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here