Bersatu Melaka umum pembubaran lima daripada enam jawatankuasa bahagian, sayap dan cawangan seluruh negeri

PARTI Bersatu Melaka hari ini mengumumkan pembubaran lima daripada enam  jawankuasa bahagian, sayap termasuk Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu negeri itu berkuat kuasa serta merta.

Pembubaran itu dibuat hasil keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Bahagian-Bahagian Bersatu negeri Melaka yang diadakan baru-baru ini.

Mantan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Melaka, Tan Sri Prof Dr A Rahim Tamby Chik berkata, keputusan ini dibuat secara sebulat suara, sukarela dan tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak.

“Kami mencapai keputusan ini setelah mengambil kira hakikat bahawa keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti semakin terhakis dan tidak lagi dapat dipulihkan.

“Kami menegaskan bahawa hilangnya kepercayaan ini berpunca daripada kegagalan kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepimpinan Bersatu Pusat,” katanya dalam sidang media di Peringgit Point di Melaka hari ini.

Menurut A Rahim, pucuk pimpinan Bersatu Pusat dilihat gagal menangani krisis dalaman parti secara tuntas dan berhemah dan tidak berupaya mengembalikan kestabilan serta kredibiliti organisasi.

Selain itu, kata beliau, pimpinan Bersatu tidak dapat menyusun strategi politik yang jelas dan meyakinkan serta tidak memelihara semangat perjuangan asal parti yang berteraskan integriti, akauntabiliti dan keberanian reformasi.

Tambah beliau, pembubaran ini melibatkan lima Bahagian utama Bersatu di negeri Melaka iaitu Masjid Tanah, ⁠Hang Tuah Jaya, ⁠Tangga Batu, ⁠Alor Gajah dan ⁠Jasin. Hanya Bersatu Bahagian Kota Melaka tidak terlibat dalam pembubaran tersebut.

“Kami berpandangan bahawa kepimpinan sedia ada tidak lagi mencerminkan aspirasi sebenar ahli di peringkat akar umbi serta telah gagal menunjukkan komitmen serius terhadap pembaharuan menyeluruh yang amat diperlukan ketika ini.

“Langkah ini merupakan manifestasi pendirian tegas pimpinan dan akar umbi di Melaka yang tidak lagi sanggup berkompromi dengan kepimpinan yang dilihat telah kehilangan legitimasi moral dan politik,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, A Rahim memberitahu, pihaknya merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, kesemua jawatankuasa yang mengumumkan pembubaran ini berharap kepimpinan baharu itu mampu menyuntik nafas segar, memperkukuh kesatuan komponen serta mengemudi PN ke arah gerak kerja yang lebih tersusun, progresif dan berkesan.

Ujar beliau, adalah menjadi harapan agar di bawah kepimpinan Ahmad Samsuri, PN dan keseluruhan blok pembangkang akan tampil lebih dinamik, strategik serta diyakini rakyat sebagai alternatif yang kukuh dan berwibawa dalam landskap politik negara.

“Keputusan ini dibuat atas prinsip pertanggungjawaban moral dan politik selaras dengan pendirian yang telah dinyatakan dalam kenyataan ini.

“Namun demikian, kami menegaskan bahawa perjuangan untuk membela agama, bangsa dan negara tidak akan terhenti. Keputusan ini adalah satu langkah `reset’ politik demi membuka ruang kepada pendekatan baharu yang lebih segar, berprinsip dan berintegriti,” tambahnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img