TIGA individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes kecurian bahan produksi bernilai kira-kira RM355,000 di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Pulai Jaya, Ipoh, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan bahan produksi bernilai tinggi yang digunakan dalam proses pengeluaran di kilang berkenaan.
“Siasatan awal pihak syarikat mendapati kira-kira 64 gulung bahan produksi telah hilang dengan anggaran kerugian RM355,000.
“Susulan laporan, polis menahan tiga pekerja syarikat berusia lingkungan 28 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam PDRM Bersama Pengamal Media, malam tadi, lapor Buletin TV3.
Menurutnya, polis turut mengesan seorang lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Muhammad Najib berkata, pihaknya percaya kecurian itu membabitkan pekerja atau operator dalam syarikat berkenaan, manakala siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti tempoh kejadian serta jumlah kerugian sebenar.
“Saya percaya pekerja ini berperanan mengeluarkan stok yang berharga tersebut dan terbabit dalam bahagian pengeluaran komponen komputer.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti jumlah sebenar kehilangan, nilai kerugian serta peranan setiap individu terbabit,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek yang ditahan akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana kesalahan kerani, pekerja atau orang gaji mencuri harta milik majikan.





