Lelaki cabul juruwang wanita ditahan

SEORANG pekerja juruwang wanita berdepan detik cemas apabila didakwa dicabul lelaki tidak dikenali ketika sedang bekerja di sebuah pasar raya di bandar Tawau, semalam.

Kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu berlaku ketika mangsa berusia 20 tahun didatangi suspek yang berpura-pura bertanyakan lokasi barangan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek kemudian meminta mangsa menunjukkan lokasi barangan sebelum wanita itu mengikutnya ke bahagian rak sabun.

“Ketika mangsa cuba beredar, suspek secara tiba-tiba bertindak menarik dan memeluk mangsa sambil mendakwa wanita itu adalah anak saudaranya.

“Suspek kemudian bertindak tidak senonoh dengan menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu tampil membuat laporan polis.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau kemudian melakukan serbuan di sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut kira-kira jam 5.30 petang hari sama.

“Hasil serbuan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Turut dirampas beberapa helai pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan suspek direman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak berkuasa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img