RAYUAN seorang lelaki bekerja sendiri supaya hukuman penjara kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya berusia empat tahun diringankan tidak berjaya apabila Mahkamah Rayuan hari ini meningkatkan hukuman keseluruhan terhadapnya kepada 20 tahun.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah menggunakan Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi meningkatkan hukuman terhadap lelaki berusia 45 tahun itu.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara, Azman berkata peningkatan hukuman itu sebagai amaran kepada perayu dan masyarakat supaya tidak memandang ringan sebarang kesalahan, terutama kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Bagi kesalahan amang seksual, panel meningkatkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada 15 tahun.
Mahkamah turut meningkatkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 kepada lima tahun.
Azman memerintahkan kedua-dua hukuman itu dijalani secara berasingan, menjadikan tempoh keseluruhan penjara lelaki berkenaan 20 tahun.
Panel yang turut dianggotai Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy turut mengekalkan hukuman lima sebatan terhadap perayu yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Klang pada 22 Disember 2022.
Mahkamah turut mengekalkan perintah supaya lelaki itu menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Terdahulu, peguam K.A. Ramu berkata anak guamnya meneruskan rayuan terhadap hukuman, namun menarik balik rayuan terhadap sabitan.
Beliau berkata, pihaknya sudah menasihatkan anak guamnya supaya tidak meneruskan rayuan itu, namun lelaki berkenaan berkeras untuk berbuat demikian.
Ramu memohon mahkamah mengurangkan hukuman kepada antara tujuh dan lapan tahun.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail memohon mahkamah menggunakan Seksyen 60 untuk meningkatkan hukuman berkenaan.
Beliau menggambarkan kes itu seperti peribahasa ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ dan berkata perayu mengajak mangsa bermain permainan ‘jadi-jadi’ di tempat letak kereta.
Menurutnya, keputusan lelaki itu meneruskan rayuan menunjukkan dia tidak kesal dengan perbuatannya.
Sebelum ini, lelaki terbabit dihukum penjara 12 tahun serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada 22 Disember 2022, sebelum Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu pada 18 November tahun lalu.





