MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menambah hukuman penjara terhadap seorang warga Bangladesh daripada enam bulan kepada 18 bulan selepas didapati melakukan serangan seksual terhadap lima wanita, termasuk seorang pelancong warga Jerman, di beberapa stesen MRT dan LRT sekitar ibu negara, bulan lalu.
Hakim Aslam Zainuddin turut memerintahkan tertuduh, Romjan Ali, 41, dikenakan satu sebatan selepas membenarkan semakan hukuman oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara itu berkuat kuasa mulai 27 April lalu iaitu tarikh tertuduh ditahan, selain mengekalkan denda keseluruhan RM15,100 yang diputuskan Mahkamah Majistret sebelum ini.
Minggu lalu, pekerja pembinaan itu mengaku bersalah atas lima pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan empat wanita tempatan dan seorang warga asing di beberapa lokasi pengangkutan awam antara 10 hingga 25 April lalu.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara serentak antara tiga minggu hingga enam bulan terhadap tertuduh selain denda keseluruhan RM15,100.
Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum memohon mahkamah meningkatkan hukuman penjara atas alasan kesalahan serangan seksual di tempat awam adalah serius dan membimbangkan masyarakat.
Bagaimanapun, peguam bela Radzuan Ibrahim merayu supaya hukuman asal dikekalkan agar anak guamnya dapat menjalani hukuman sebelum dihantar pulang ke negara asal.


