LIMA: Besarkan nilai strategik bukan pindah jenama

CADANGAN meneroka Melaka sebagai lokasi alternatif Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) menarik perhatian. Melaka mempunyai kelebihan strategik tersendiri tetapi sebelum berbicara mengenai pemindahan, satu persoalan lebih besar perlu dijawab iaitu apakah Malaysia mahu sekadar mencari lokasi baharu atau mahu membawa LIMA ke tahap  lebih tinggi?

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata Klebang berpotensi menjadi alternatif kerana berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam selain mempunyai akses bagi kapal.

Kedudukannya di Semenanjung juga membolehkan penyertaan awam lebih meluas berbanding Langkawi, namun beliau turut mengakui penyediaan infrastruktur bagi penganjuran LIMA di Melaka memerlukan pelaburan yang sangat besar.

Di sinilah pertimbangan strategik perlu mengatasi keterujaan mencari lokasi baharu. LIMA bukan sekadar pameran ketenteraan. Sejak diperkenalkan pada 1991, Langkawi dan LIMA berkembang sebagai satu jenama yang dikenali dalam kalangan industri pertahanan, aeroangkasa dan maritim antarabangsa.

LIMA 2025 menghimpunkan 860 pempamer dari 24 negara, menarik kira-kira 450,000 pengunjung serta menampilkan 43 pesawat dan 31 kapal. Nilai urus niaga, kontrak dan persefahaman yang diumumkan pula mencecah sekitar RM11 billion.

Lebih menarik, LIMA 2027 yang masih dijadualkan berlangsung di Langkawi pada 20 hingga 24 April tahun depan menyasarkan 930 syarikat dari 36 negara, lebih 450 delegasi rasmi mewakili 65 negara serta sehingga 110 aset udara dan 90 aset maritim.

Angka ini menunjukkan jenama LIMA tidak mengalami kemerosotan, sebaliknya, ia sedang berkembang. Langkawi juga mempunyai kelebihan yang tidak boleh dibina hanya dengan menyediakan dewan pameran.

Kombinasi lapangan terbang, ruang udara, perairan terbuka dan ekosistem pameran membolehkan demonstrasi udara serta maritim dilaksanakan dalam satu persekitaran.

Inilah sebahagian daripada identiti Lima, namun, mengekalkan LIMA di Langkawi tidak bermakna Melaka harus diketepikan. Sebaliknya, Melaka menawarkan peluang yang mungkin lebih besar daripada sekadar menjadi pengganti Langkawi.

Kedudukannya menghadap Selat Melaka memberikan nilai geopolitik tersendiri. Selat tersebut merupakan antara laluan maritim terpenting dunia dan menjadi nadi perdagangan serta keselamatan serantau.

Mengapa tidak Malaysia membangunkan konsep “Langkawi + Melaka”?

Langkawi boleh kekal sebagai pentas utama LIMA dengan tumpuan terhadap aeroangkasa, demonstrasi aset udara dan maritim, teknologi pertahanan serta diplomasi pertahanan peringkat tinggi.

Melaka pula boleh dibangunkan sebagai hab khusus keselamatan dan industri maritim dengan tumpuan kepada keselamatan Selat Melaka, maritime domain awareness, teknologi tanpa pemandu, sistem autonomi, keselamatan pelabuhan, pembinaan kapal, pengawasan pesisir serta business matching industri pertahanan, malahan Melaka berpotensi menjadi lokasi LIMA Maritime and Defence Industry Forum secara tahunan, sementara LIMA Langkawi kekal sebagai acara utama dwitahunan.

Pendekatan sedemikian mengubah LIMA daripada acara lima hari setiap dua tahun kepada sebuah ekosistem pertahanan, aeroangkasa dan maritim yang bergerak sepanjang tahun. Lebih penting, ukuran kejayaan LIMA tidak seharusnya tertumpu kepada jumlah pengunjung semata-mata.

Nilai sebenar sebuah pameran pertahanan antarabangsa terletak pada siapa yang hadir, berapa banyak keputusan perolehan dan pelaburan dicetuskan, sejauh mana teknologi dipindahkan kepada industri tempatan serta berapa banyak hubungan strategik dan diplomasi pertahanan berjaya dibina.

Malaysia sudah mempunyai jenama yang mengambil masa lebih tiga dekad untuk dibentuk. Jangan tergesa-gesa memisahkan LIMA daripada ekosistem yang membesarkannya jika nilai strategik yang sama boleh dikembangkan melalui pendekatan lebih kreatif.

Melaka tidak semestinya menggantikan Langkawi. Melaka boleh melengkapkan Langkawi. Justeru, persoalan sebenar bukan lagi “Langkawi atau Melaka?”

Persoalannya, mengapa perlu memilih satu jika kedua-duanya boleh digunakan untuk menjadikan Malaysia pusat ekosistem pertahanan, aeroangkasa dan maritim ASEAN? Jadi, jangan pindahkan aset strategik yang sudah berjaya, gunakan Melaka untuk menggandakan nilainya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here