PEGUAM kepada bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim tampil menjelaskan keadaan yang menyebabkan anak guam mereka hadir ke mahkamah hari ini dengan memakai baju lokap berwarna ungu serta digari.
Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, Abdul Azeez memaklumkan bahawa sebelum dibawa keluar dari lokap polis, beliau pada awalnya dibenarkan memakai pakaian biasa.
‘’Bagaimanapun, tidak lama sebelum dibawa keluar dari lokap, beliau diarahkan menukar pakaian kepada pakaian lokap berwarna ungu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
‘’Beliau kemudiannya dibawa ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2 untuk permohonan reman oleh pihak polis dalam keadaan masih memakai pakaian tersebut. Mahkamah kemudian membenarkan perintah reman selama dua hari terhadap beliau,’’ katanya dalam kenyataan.
Terdahulu SPRM menerusi kenyataan, berkata Abdul Azeez memilih untuk hadir di mahkamah dengan memakai pakaian lokap polis dan gari walaupun sudah dinasihati beliau tidak perlu berbuat demikian.
Bagaimanapun Amer Hamzah menegaskan, pada setiap masa Abdul Azeez kekal berada di bawah tahanan dan kawalan PDRM.
‘’Gari yang dipakaikan kepadanya juga dilakukan oleh pihak polis dan bukannya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Selepas prosiding reman selesai, Abdul Azeez dibawa terus dari Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2 ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9 untuk pertuduhan SPRM terhadapnya dibacakan,’’ katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut, termasuk ketika dipindahkan dari satu bilik mahkamah ke bilik mahkamah yang lain, Abdul Azeez kekal berada di bawah tahanan polis.
‘’Beliau tidak dibebaskan daripada tahanan polis antara kedua-dua prosiding berkenaan dan tidak diberikan sebarang peluang untuk menukar pakaian lokap sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9,’’ katanya
Sehubungan itu, Amer Hamzah menegaskan bahawa penampilan Abdul Azeez dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu dan bergari ketika prosiding SPRM berikutnya bukanlah atas pilihan peribadinya.
‘’Sebaliknya, beliau dibawa terus ke prosiding tersebut dalam pakaian dan keadaan yang sama seperti ketika beliau dibawa ke mahkamah bagi prosiding reman polis sebelum itu,’’ katanya.
Peguam berkata mereka amat terkejut dengan kenyataan yang dikaitkan dengan SPRM yang mendakwa anak guam mereka memilih atau berkeras untuk memakai pakaian lokap serta mahu digari.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, anak guam kami berada di bawah tahanan PDRM sepanjang tempoh berkenaan, manakala pakaian lokap dan gari tersebut adalah sebahagian daripada proses ketika beliau berada dalam tahanan polis.
“Dalam keadaan tersebut, sebarang dakwaan bahawa anak guam kami memilih untuk memakai pakaian berkenaan atau meminta untuk digari adalah sama sekali tidak tepat dan mengelirukan,” katanya.





