PENDEKATAN diplomasi dan rundingan secara aman kekal menjadi keutamaan Malaysia dalam menguruskan isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
Langkah itu meletakkan kestabilan rantau sebagai matlamat utama meskipun isu pertikaian perairan dengan China terus diberi perhatian serius.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu tuntutan sempadan membabitkan kedua-dua negara sentiasa diangkat dan dibincangkan secara mendalam dalam setiap sesi rundingan dua hala yang dijalankan.
“Malaysia sebuah negara kecil dan kita sentiasa berusaha mengekalkan hubungan diplomatik yang baik dengan semua pihak.
“Bagaimanapun, pada masa sama kita perlu mempunyai keberanian untuk menyuarakan pandangan dan ketidaksetujuan sekiranya perlu bagi mempertahankan kepentingan nasional,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama media antarabangsa NDTV di New Dehli, semalam, lapor NST.
Anwar menegaskan, diplomatik antara Kuala Lumpur dan Beijing setakat ini berlanjutan secara aman, sekali gus memastikan hubungan bilateral kedua-dua negara kekal kukuh dan stabil.
Mengulas lanjut usaha meredakan ketegangan geopolitik di laluan perdagangan strategik itu, beliau memperakui pentingnya mempercepatkan muktamad Kod Tata Kelakuan (COC) antara ASEAN dan China bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Katanya, Beijing sudah memberikan maklum balas positif dan kini aktif berunding dengan negara anggota ASEAN bagi menentukan parameter menyeluruh kod berkenaan.
“Walaupun Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 diterima sebagai asas utama undang-undang antarabangsa, klausa sedia ada masih bersifat umum untuk menangani dimensi spesifik di lapangan.
“Justeru, konsensus ASEAN bersetuju bahawa rundingan perlu diperdalamkan bagi merangka garis panduan yang lebih terperinci,” katanya.
Kenyataan berkenaan hadir berikutan perhatian antarabangsa terhadap tindakan China yang terus memperkukuh kedudukan di perairan berkenaan, termasuk pembangunan infrastruktur di Kepulauan Spratly.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengulangi pendirian teguh Malaysia untuk mengekalkan dasar luar yang berkecuali serta memupuk hubungan akrab dengan semua kuasa besar dunia, termasuk India dan China, demi kepentingan ekonomi dan keselamatan negara.





