Anwar bertemu Mufti Besar India, perkukuh fahaman dan keharmonian agama

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad di Markazu Saquafathi Sunniya, yang juga dikenali sebagai Jamia Markaz di Calicut di Keralam hari ini, sejurus selesai menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi.

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Anwar dan Sheikh Abubakr Ahmad bertukar pandangan mengenai pembangunan masyarakat, pemerkasaan pendidikan serta usaha memperkukuh kesefahaman dan keharmonian antara agama.

Beliau yang tiba pada jam 5.50 petang waktu tempatan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, disambut Setiausaha Agung Sementara Jamia Markaz, Dr Muhammad Abdul Hakkim Kandi; Pengarah Jamia Markaz, CP Ubaidullah Saquafi dan Rektor Jamia Markaz, Dr Roshan Nurani, lapor Bernama.

Perdana Menteri yang kini dalam rangka lawatan kerja lima hari di India turut menunaikan solat Maghrib sebelum menghadiri majlis Gathering of Honour Prime Minister Malaysia serta majlis ilmu di Markaz berkenaan yang merupakan antara institusi Islam terkemuka di India.

Sheikh Abubakr Ahmad yang juga Mufti Besar India ke-10, dilahirkan di Keralam dan dibesarkan dalam tradisi keilmuan Sunni-Sufi.

Beliau bukan sahaja dikenali kerana kepakaran yang dimilikinya, malah atas keyakinannya bahawa keilmuan Islam perlu menangani cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat, termasuk kemiskinan, kekurangan akses kepada pendidikan, masalah sosial, pengangguran dan kebajikan anak yatim piatu.

Terdahulu, pesawat yang membawa Anwar dan delegasi Malaysia dari New Delhi, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Calicut, Keralam pada jam 4.56 petang waktu tempatan (7.26 petang waktu Malaysia).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here