JHEAINS ambil alih sementara pentadbiran Masjid Jamek Kuala Klawang

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan mengambil alih sementara pentadbiran Masjid Jamek Kuala Klawang susulan kejadian solat Jumaat tidak dapat dilaksanakan di masjid berkenaan hari ini.

Jemaah yang hadir pada Jumaat terpaksa menunaikan solat Zuhur sebagai ganti selepas solat Jumaat tidak dapat diadakan, sekali gus mencetuskan perhatian orang ramai apabila perkara itu tular dalam media sosial.

JHEAINS dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum kejadian berkenaan, namun setakat ini belum menerima sebarang notis peletakan jawatan secara bertulis daripada Imam Satu masjid itu.

Sebaliknya, jabatan berkenaan hanya menerima makluman secara lisan mengenai hasrat imam terbabit untuk meletakkan jawatan.

“Untuk makluman, individu berkenaan masih menerima elaun bagi jawatan imam,” menurut kenyataan itu.

JHEAINS berkata, pentadbiran masjid berkenaan akan dikendalikan sementara oleh JHEAINS Daerah Jelebu bagi memastikan pengurusan masjid dan pelaksanaan ibadah berjalan lancar, selain menjaga kepentingan jemaah.

Kejadian itu turut dikaitkan dengan dakwaan bantahan imam terhadap arahan supaya nama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan individu yang dikaitkan dengan kedudukan Undang Luak, dibacakan dalam khutbah Jumaat.

Bagaimanapun, JHEAINS memaklumkan pihaknya akan menjalankan penelitian lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.

“Jabatan ini juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan mengikut bidang kuasa masing-masing.

“JHEAINS menegaskan bahawa segala tindakan pentadbiran dilaksanakan berdasarkan amanah dan ketetapan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, JHEAINS menegaskan pihaknya kekal berkecuali daripada kepentingan politik kepartian serta berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, integriti dan etika perkhidmatan awam.

Jabatan itu turut komited menambah baik prosedur pentadbiran, selain mengingatkan semua jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di Negeri Sembilan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa agama serta peraturan ditetapkan.

“JHEAINS menegaskan bahawa kelancaran pelaksanaan ibadah, ketenteraman awam, pemeliharaan kesucian institusi masjid serta kepentingan jemaah sentiasa menjadi keutamaan.

“Tiada mana-mana individu, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh, yang terkecuali daripada pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here