MAHKAMAH Rayuan hari ini meningkatkan hukuman penjara bekas pekerja pasar raya daripada lapan tahun kepada 20 tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki warga Indonesia berumur dua tahun yang berada di bawah jagaannya pada 2021.
Panel tiga hakim terdiri Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Noorin berkata, hukuman penjara lapan tahun yang dijatuhkan ke atas Mohd Noor Ab Manap oleh Mahkamah Tinggi tidak mencukupi.
Hukuman itu, katanya, gagal mengambil kira beberapa keadaan sekitar yang penting, termasuk hakikat bahawa mangsa adalah seorang kanak-kanak yang tidak berdaya dan berada di bawah jagaan serta tanggungjawab tertuduh, lapor Bernama.
Beliau berkata, hukuman penjara 20 tahun mencapai keseimbangan yang wajar antara kepentingan tertuduh sebagai pesalah dengan kepentingan mangsa dan masyarakat.
Panel itu memerintahkan Mohd Noor, 36, menjalani hukuman tambahan penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 November 2021.
Dalam penghakimannya, Noorin berkata, mangsa telah diamanahkan untuk dijaga oleh Mohd Noor dan isteri dengan bayaran bulanan sebanyak RM250.
Katanya, seorang kanak-kanak yang diletakkan di bawah jagaan orang dewasa berhak mendapatkan perlindungan dan penjagaan daripada individu yang diamanahkan untuk menjaga kebajikannya dengan sebaik mungkin.
“Dalam kes ini, kepercayaan itu telah dikhianati dengan akibat yang paling tragis, iaitu kehilangan nyawa mangsa,” katanya.
Noorin juga berkata, kesulitan kewangan dan tekanan yang dihadapi Mohd Noor tidak boleh diberikan pertimbangan yang besar dan apa jua tekanan mungkin dialami tertuduh tidak menghalalkan dia melepaskan kemarahan kepada kanak-kanak yang masih kecil dan tidak berdaya.
“Responden mempunyai pilihan lain yang boleh diambil termasuk mendapatkan bantuan atau mengembalikan mangsa kepada penjaga asal,” katanya.
Memetik laporan media, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Rompin pada 18 November 2021 atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ketika itu.
Mohd Noor didakwa membunuh individu dikenali sebagai Adam yang berusia lebih kurang dua tahun di sebuah rumah di Jalan Janglau 1, Kampung Janglau di Rompin pada jam 2 pagi, 11 November 2021 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan





