Operator kilang didakwa pandu motosikal secara melulu, cederakan polis

SEORANG operator kilang berdepan dua pertuduhan selepas didakwa memandu motosikal secara melulu dan membahayakan serta menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis trafik, Ahad lalu.

S Hari Kumar, 25, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norkhalida Farhana Abu Bakar di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan hingga mungkin menyebabkan bencana, iaitu menyebabkan tangan kanan Koperal Mohd Fauzi Che Zakaria patah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Yusuf di sini, jam 10.03 pagi, 13 September lalu, mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000.

Mahkamah juga hendaklah memerintahkan lesen memandu tertuduh diendorsekan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada anggota polis yang sama ketika mangsa menjalankan tugasnya secara sah sebagai penjawat awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama pada jam 9.45 pagi, hari yang sama, mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nuraini Shapee, manakala tertuduh diwakili peguam B Mariammah.

Wan Nuraini memohon mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun, Mariammah memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan tertuduh bekerja di Singapura dengan pendapatan S$1,500 sebulan selain perlu menanggung ibu bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Oktober ini serta serahan dokumen.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here