SEORANG lelaki berusia 43 tahun yang disyaki membunuh isterinya di Taman Tiram, Kulim Hi-Tech di Kulim malam tadi direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kulim hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Mahkamah membenarkan permohonan reman selama tujuh hari sehingga 21 September ini bagi membantu siasatan.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.
Dalam kejadian malam tadi, mangsa, S Sila, 39, disahkan meninggal dunia selepas ditikam suaminya.
Suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Lunas kira-kira jam 8.40 malam sebelum ditahan polis.
Suspek turut mengaku melakukan serangan itu sebanyak 13 kali, membabitkan tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan.
Pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut diserahkan suspek kepada polis dan dirampas sebagai barang kes.
Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.





