Anwar bincang dengan Petronas cadangan eksplorasi minyak di Maldives

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengenai cadangan agar syarikat minyak global Malaysia itu meneliti kemungkinan menjalankan eksplorasi minyak di Maldives.

Anwar yang juga Menteri Kewangan melahirkan keyakinan terhadap keupayaan Petronas serta pengalaman luas syarikat itu dalam sektor minyak dan gas di peringkat antarabangsa.

“Mengenai cadangan supaya Petronas meneliti kemungkinan eksplorasi minyak (di Maldives), saya perlu membincangkan perkara ini dengan Petronas.

“Dan saya yakin dengan kekuatan Petronas pada masa kini di seluruh dunia, dari Kanada hingga ke Turkmenistan dan Sudan, serta Suriname, Peru dan Brazil. Saya berpandangan tidak menjadi masalah besar untuk melebarkan sayap lebih dekat ke sini, iaitu ke Maldives,” kata beliau.

Anwar berkata demikian dalam sidang media bersama Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu di Pejabat Presiden di Male hari ini, lapor Bernama.

Petronas mempunyai kehadiran antarabangsa merentas pelbagai pasaran minyak dan gas di banyak negara di seluruh dunia yang mencerminkan keupayaan syarikat minyak nasional itu.

Anwar kini berada di Maldives bersempena dengan lawatan rasmi dua hari yang berakhir hari ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here