Polis KL cadang KK Mart jadi Go-To-Safety-Point

POLIS Kuala Lumpur bercadang menjadikan rangkaian kedai serbaneka KK Mart sebagai Go-To-Safety-Point (GTSP) menerusi kerjasama strategik dengan syarikat berkenaan bagi memperkukuh usaha pemantauan dan pencegahan jenayah di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kira-kira 700 cawangan KK Mart di ibu negara dan Selangor yang beroperasi 24 jam, mempunyai pencahayaan terang serta dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) berpusat berpotensi dijadikan lokasi selamat untuk orang awam mendapatkan bantuan ketika berdepan kecemasan.

“Kita melihat KK Mart boleh dijadikan safety point (tempat selamat) kepada masyarakat di sekitarnya. Pada masa sama, kita akan tingkatkan kerjasama dari segi rondaan dan pemantauan supaya premis ini menjadi tempat yang selamat untuk orang awam,” katanya, lapor BH.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pembukaan cawangan KK Mart di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini, yang turut dihadiri Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan.

Fadil berkata, pihaknya turut melihat kemungkinan diberikan akses kepada CCTV berpusat rangkaian kedai serbaneka berkenaan, sekali gus memperkukuh pemantauan keselamatan di kawasan persekitarannya.

Berdasarkan laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM), program GTSP ialah inisiatif yang mewujudkan rangkaian premis rakan strategik sebagai “titik keselamatan” bagi orang awam mendapatkan bantuan segera ketika berdepan kecemasan, jenayah atau ancaman keselamatan.

Dalam pada itu, Fadil berkata, cawangan KK Mart di IPK Kuala Lumpur ialah cawangan pertama kedai serbaneka itu di bangunan PDRM dan berkemungkinan diperluas ke bangunan PDRM lain bagi memberi manfaat kepada warga polis serta masyarakat setempat.

Mengulas kawalan terhadap barangan yang dijual di premis KK Mart di IPK Kuala Lumpur, beliau berkata, operasi perniagaan itu tertakluk kepada peraturan premis kerajaan dan sebarang barangan yang dilarang tidak akan dibenarkan dijual.

Sementara itu, Kee Kan berkata, ketika ini terdapat kira-kira 1,100 cawangan KK Mart di seluruh negara dan beliau melihat potensi besar untuk menempatkan kedai serbaneka berkenaan di bangunan kerajaan.

Beliau turut menyambut baik inisiatif menjadikan KK Mart sebagai GTSP dan bersedia berkongsi rakaman CCTV di rangkaian kedai serbaneka itu bagi membantu siasatan PDRM.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here