MyKad Generasi Baharu boleh ditukar mulai hari ini

ORANG ramai kini boleh mendapatkan MyKad Generasi Baharu di seluruh negara, dengan pemohon di 40 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mempunyai Pusat Cetakan boleh menerima kad berkenaan pada hari sama.

Berdasarkan kenyataan soalan lazim JPN, kemudahan berkenaan membabitkan beberapa cawangan JPN dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.

Bagi cawangan JPN yang tidak mempunyai kemudahan cetakan, MyKad Generasi Baharu akan disiapkan dalam tempoh lima hari bekerja.

Dalam pada itu, fungsi Touch ‘n Go tidak lagi tersedia dalam MyKad versi baharu, namun orang ramai masih boleh menggunakan perkhidmatan berkenaan menerusi aplikasi eWallet Touch ‘n Go atau kad Touch ‘n Go berasingan.

Pertukaran MyKad baharu juga tidak menyebabkan baki atau kelayakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hilang kerana rekod berkenaan masih boleh disemak dan dirujuk melalui sistem SARA termasuk portal SARA atau saluran rasmi MyKasih.

MyKad baharu juga masih boleh digunakan bagi bantuan atau subsidi kerajaan yang menggunakan kad berkenaan sebagai medium pengesahan atau penebusan, tertakluk kepada syarat kelayakan ditetapkan oleh agensi berkenaan.

Pengeluaran kad pengenalan baharu tidak mengubah nombor kad pengenalan atau maklumat peribadi yang terdapat dalam rekod MyKad lama, malah ia kekal sebagai dokumen pengenalan diri rasmi rakyat Malaysia dan boleh digunakan untuk sebarang urusan kerajaan.

Bagi urusan bank atau perkhidmatan lain, pelaksanaan MyKad baharu mengambil kira keperluan sistem dan perkhidmatan yang menggunakan kad berkenaan, selain proses penyesuaian akan dibuat secara berperingkat bersama pihak berkaitan.

Bayaran bagi proses permohonan MyKad baharu pula tertakluk kepada kategori permohonan dan kadar yang ditetapkan oleh JPN.

Sehubungan itu, orang awam tidak perlu hadir ke JPN semata-mata untuk menukar MyKad sedia ada, manakala bagi urusan penggantian, permohonan boleh dibuat berdasarkan prosedur JPN.

Pemohon juga digalakkan membuat janji temu terlebih dahulu melalui MyTemujanji JPN bagi memudahkan urusan di kaunter.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here