JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengesahkan seorang pelajar yang cedera dalam insiden tikaman di sebuah sekolah menegah di Banting hari ini sedang menerima rawatan di hospital, manakala suspek kejadian sudah ditahan polis.
JPN Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Menurut kenyataan itu, keutamaan ketika ini adalah memastikan mangsa menerima rawatan terbaik selain bantuan sewajarnya diberikan kepada keluarga pelajar terbabit.
“Tumpuan utama pada ketika ini adalah untuk memastikan pelajar yang tercedera mendapat rawatan terbaik dan bantuan diberi kepada keluarga.
“Pasukan kaunselor serta Guru Bimbingan dan Kaunseling juga sudah digerakkan bagi melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada pelajar, guru dan seluruh warga sekolah terbabit,” katanya.
JPN Selangor turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas siasatan lanjut dijalankan.
Sebelum ini, tular beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan seorang remaja perempuan berpakaian hitam berjalan di kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau.
Rakaman sama turut menunjukkan beberapa pelajar bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri ketika kejadian berlaku.





