ORANG ramai tidak perlu bimbang kehilangan atau terganggu kelayakan menerima manfaat BUDI dan SARA selepas menukar kepada MyKad Generasi Baharu.
Pengarah Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asraf Sukadi berkata, kebanyakan subsidi tidak direkodkan dalam cip MyKad, sebaliknya disimpan dalam sistem yang disediakan bagi BUDI dan SARA.
“Subsidi kebanyakan tidak direkodkan di dalam MyKad. Ia direkodkan dalam sistem yang disediakan oleh SARA ataupun BUDI.
“Jadi, dapat MyKad struktur baharu, boleh terus menggunakan MyKad tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di JPN Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang menggunakan MyKad bagi mendapatkan manfaat subsidi dan mahu menerima kad baharu dengan segera boleh hadir ke 40 cawangan JPN yang ditetapkan.
Katanya, sekiranya permohonan dibuat di cawangan lain, MyKad baharu akan diterima dalam tempoh lima hingga tujuh hari dan pemohon akan menggunakan kad pengenalan sementara dalam tempoh berkenaan.
“Kalau hadir di tempat lain, tuan-tuan dan puan-puan akan dapat MyKad dalam tempoh masa lima hingga tujuh hari. Jadi akan menggunakan kad pengenalan sementara, jadi akan terganggulah subsidi tersebut.
“Tetapi kalau dah dapat terus, boleh terus digunakan, tak ada masalah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu ke JPN untuk mendapatkan MyKad Generasi Baharu kerana tempoh penukaran masih panjang.
Menurutnya, orang ramai boleh membuat janji temu terlebih dahulu menerusi sistem MyTemujanji JPN bagi mengelakkan tempoh menunggu yang lama.





