DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan beliau tidak pernah campur tangan atau menentukan mana-mana pihak untuk disiasat, didakwa mahupun dihukum, sambil menolak dakwaan bahawa tindakan kerajaan meneliti isu pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didorong oleh dendam politik.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa prinsip kebebasan badan kehakiman dan pihak berkuasa sentiasa dihormati sepenuhnya tanpa sebarang tekanan daripada pentadbiran beliau.
“Apa saya boleh bercakap dengan pendakwa, saya boleh beri pandangan hakim? Tiada. Tanya Ketua Hakim Negara… Ketua Hakim Negara penuh kebebasan dan wibawa untuk memutuskan. Saya tidak akan menentukan siapa yang disiasat, siapa yang didakwa atau siapa yang dihukum. Inilah prinsip yang kita pegang,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Shah Alam hari ini.
Anwar dalam pada itu memaklumkan, laporan awal berhubung isu pengurusan Felda dijangka siap minggu depan sebagai langkah awal kerajaan untuk meneliti kepincangan tadbir urus yang berlaku dalam agensi berkenaan.
Mengulas mengenai keadaan Felda, Perdana Menteri mendedahkan agensi itu kini menanggung beban komitmen kewangan yang sangat tinggi mencecah RM980 juta setahun.
Malah katanya, tinjauan beliau ke kawasan rancangan mendapati pelbagai projek terbiar tanpa kawalan sejak 10 tahun lalu, selain kediaman peneroka berada dalam keadaan amat daif.
Meskipun masalah berkenaan adalah berpunca daripada kesilapan pengurusan terdahulu, beliau enggan membiarkan warga peneroka terus menanggung kesannya.
“Saya tidak sampai hati berbuat demikian kerana itu bukan salah peneroka. Maka, saya terpaksa meluluskan RM450 juta untuk membaiki semua rumah peneroka di seluruh negara,” tambah beliau.





