Negara hebat bermula daripada keluarga bahagia – Anwar

KEJAYAAN membangunkan sebuah negara tidak boleh hanya dinilai berdasarkan kemajuan infrastruktur, teknologi dan jumlah pelaburan, sebaliknya perlu disertai pembentukan masyarakat yang beradab, berakhlak serta menjunjung nilai kemanusiaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan sesebuah negara sebenarnya bermula daripada institusi keluarga yang menjadi asas pembentukan masyarakat dan melahirkan generasi penentu masa depan.

Menurutnya, gagasan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ perlu dijadikan pedoman dalam mendidik generasi muda agar mampu menguasai ilmu dan teknologi baharu tanpa mengabaikan nilai kehidupan.

“Keluarga merupakan asas pembentukan masyarakat dan tunjang kekuatan negara, justeru gagasan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, perlu dijadikan pedoman dalam mendidik generasi muda supaya mampu menguasai teknologi dan ilmu baharu tanpa mengabaikan nilai, adab, kasih sayang serta sahsiah mulia.

“Saya yakin bahawa usaha membina negara yang hebat harus bermula dengan membina keluarga yang bahagia, kerana daripada institusi keluargalah lahirnya generasi yang bakal menentukan wajah dan masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh dasar serta inisiatif yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan keluarga.

Antara aspek yang diberi perhatian termasuk kebajikan ibu dan anak, penyediaan kemudahan penjagaan, sokongan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) serta pengiktirafan terhadap peranan golongan penjaga.

Terdahulu, Anwar merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Shah Alam, hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Nancy dan kementerian atas penganjuran sambutan berkenaan serta komitmen berterusan memperjuangkan kesejahteraan wanita dan memperkukuh institusi keluarga sebagai tunjang pembangunan masyarakat dan negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here