DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa amalan memanfaatkan isu perkauman demi memancing sokongan politik perlu dihentikan segera, terutamanya ketika negara bakal menjejaki usia tujuh dekad kemerdekaan.
Perdana Menteri mengingatkan bahawa taktik menunggang isu kaum kerap digunakan secara melampau apabila sesetengah pihak mula berada dalam keadaan terdesak dan terdesak merebut kuasa.
“Bila saya sebut ‘negeri kita’, saya tidak bermaksud saya nak menggugat kedudukan orang lain, tidak. Hak Raja-Raja Melayu, apa yang termaktub dalam Perlembagaan, kita terima. Tetapi penting ditekankan supaya anak-anak kita tidak rasa mereka itu asing.
“Kemudian politiknya simpang-siur, bergaduh. Bila bergaduh, serang-menyerang, tarik sokongan dan digunakan isu kaum. Apabila nampak terdesak, digunakan isu kaum. Mana negara boleh bertahan begini? Berapa tahun merdeka? (Hampir) 70 tahun. Tak habis lagi ke bincang, gaduh. Negeri siapa? Negeri kita,” tegas beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Kali Ke-41 di Encore Theatre Melaka, Klebang di Melaka malam ini.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh.
Anwar menambah, sebagai Perdana Menteri yang diberi mandat, beliau komited untuk memelihara hak dan kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengetepikan mana-mana kaum.
“Saya nak tekankan, ini bukan isu politik, ini isu kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara. Kita mahu negara ini, Malaysia menjadi negara kita semua.
“Saya mesti jaga Melayu, saya mesti jaga Cina, saya jaga India, Iban, Kadazan, kalau tidak, saya tidak layak jadi Perdana Menteri. Perdana Menteri mesti jaga semua, dengan keberanian dan keyakinan. Siapa sahaja diberi mandat, siapa sahaja disokong, mesti berjanji jaga rakyat, jaga negara, jaga masa depan anak-anak kita,” ujar beliau lagi.





