KERAJAAN mempunyai keterbatasan dalam perkara berkaitan pengampunan, termasuk keputusan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan bidang kuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu itu telah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, manakala Peguam Negara turut menjalankan tugasnya dengan menyampaikan pandangan secara tulus dan adil mengenai faktor yang menyebabkan kerajaan sukar menerima keputusan mengurangkan hukuman pada peringkat ini.
“Yang di-Pertuan Agong beri pertimbangan lain dan memutuskan. Dan kita sebagai rakyat dan prinsip Perlembagaan yang ada, saya faham ada setengah nak gunakan ini kononnya kita ada kompromi, kita dah pakat dengan pimpinan UMNO, tak betul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia dalam kereta api menuju ke Hangzhou, China hari ini.
Anwar turut menegaskan, pendirian kerajaan dalam menolak rasuah tidak berubah, sambil meminta semua pihak memahami keterbatasan kerajaan dalam sistem Perlembagaan sedia ada.
Beliau menegaskan kerajaan tidak mempunyai kuasa mutlak dalam soal pengampunan walaupun mempunyai majoriti besar di Parlimen.
Mengenai tawaran Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk meletak jawatan, Anwar berkata, Setiausaha Agung DAP itu berbuat demikian atas prinsip menentang kleptokrasi dan rasuah.
Katanya, beliau belum berbincang secara terperinci dengan Anthony mengenai perkara itu dan mahu memberi ruang kepada Ahli Parlimen Seremban itu sebelum membuat sebarang keputusan.
Perdana Menteri menegaskan, pendirian Anthony adalah berasaskan prinsip dan beliau sendiri tidak berbeza pandangan dalam soal menolak rasuah, namun kerajaan perlu mengambil kira bidang kuasa serta peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara.
“Saya nak dengar penjelasan dia. Tentu dia letak atas dasar prinsip kerana dia rasa sepanjang puluh tahun ini kita bergerak menentang kleptokrasi, amalan rasuah. Jadi sukar bagi dia mempertahankan,” katanya
Anwar turut menolak dakwaan bahawa Anthony atau DAP mengambil tindakan kerana tekanan politik.
“Dia bukan menentang keputusan saya ataupun Kerajaan MADANI dan kerjasama dalam Perpaduan. Tapi dia fikir sukar dia nak pertahankan keputusan itu bila parti dia, malah Pakatan Harapan sekarang daripada awal pendirian kita agak tegas bab ini,” katanya.
Beliau memaklumkan, akan turut memberikan pandangan kepada Anthony mengenai implikasi daripada keputusan berkenaan, namun menegaskan perkara itu perlu ditangani dengan sabar dan bijaksana.





