Durian mampu menyatukan dunia

SEJAK dulu durian disebut sebagai Raja Buah. Rasanya yang sangat  lazat menyebabkan ia menjadi buah pilihan ramai.

Sejak kecil, saya sudah terdedah sebagai ‘anak durian’ melalui  Allahyarham abah, Haji Abdul Malek Kulub Aji. Allahyarham terkenal di Perak pada era 80an dan 90an sebagai ‘Malek Doyan’ kerana jenama ‘Durian Paduka’ miliknya mememenangi Pesta Durian Negeri Perak pada tahun 1984.

Saya menyaksikan bagaimana meriahnya kampung kami dikunjungi pelbagai kaum ketika musim durian. Nama-nama peraih durian Cina popular yang akan bergelemak dengan pemilik-pemilik dusun di kampung dari Teluk Intan dan Tanjung Tualang  seperti Ah Sin, Ah Man, Ah Lang masih segar dalam ingatan saya.

Anak mendiang Ah Man yang berniaga buah-buahan di pekan Tanjung Tualang menjadi sahabat baik saya.

Chiang Kai Phang yang merupakan tauke kedai elektrik di pekan Parit bagaikan ‘bapa saudara’ saya. Setiap kali musim durian,  Kai Phang akan membawa duriannya dari Parit untuk dijual di gerai borong abah di Pulau Tiga, Kampung Gajah.

Kawan-kawan abah daripada kalangan kaum India dari Tapah dan Batu Gajah seperti Kandaiyah Mutusamy akan datang dengan saudara maranya menaiki kereta uzur Datsun merah 120Y untuk menikmati durian.

Sejak dulu buah durian  menjadi lambang untuk menyemarakkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Generasi kedua seperti saya dan anak saudara  (cucu abah) meneruskan legasi hingga ke peringkat antarabangsa. Bagi saya, tradisi kehebatan durian Kampung Gajah perlu dikomersialkan dan dibangunkan dengan cara lebih dinamik oleh generasi baru.

Pada tahun 2017, penulis merintis promosi durian Kampung Gajah kepada masyarakat antarabangsa. Negara jiran seperti Thailand melalui Pihak Berkuasa Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) sangat menyokong usaha itu dengan membawa pegawai-pegawai dan media untuk meninjau peluang kerjasama dengan saya .

Malangnya, apabila kedua-dua negara menghadapi masalah yang sama iaitu asyik bertukar kerajaan serta Covid-19, usaha itu terbantut. Namun baru-baru ini, hasrat yang tertangguh itu berjaya dilaksanakan semula.

Ketika saya mengadakan lawatan ke Pattani, Thailand baru-baru ini, kami melawat dusun durian di Betong, Selatan Thai dan membincangkan kerjasama yang boleh  menguntungkan kedua-dua negara terutamanya melibatkan buah durian.

Gabenor Wilayah Pattani, Thailand, Patimoh Sadiyamu dan pagawai-pegawai SBPAC menyatakan sokongan terhadap Festival Antarabangsa Durian Kg. Gajah 2025 di Pattani baru-baru ini.

Gabenor Pattani Patimoh Sadiyamu yang mempengerusikan mesyuarat kami  di Pattani mencadangkan supaya jenama durian ASEAN. Langkah itu bertujuan bagi memastikan industri durian Malaysia dan Thailand bersifat melengkapi berbanding bersaing antara satu sama lain.

Setelah yakin dengan sokongan antarabangsa, saya menganjurkan Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 (10 Oktober -30 November 2025) yang bertemakan “Durian Menyatukan Kita”.

 Penganjuran secara tiba-tiba ketika buah durian begitu lebat di Kampung Gajah, dianggap sesetengah pihak seperti  ‘serang hendap’. Tetapi dari sudut lain  tetapi dari sudut lain, ia menguji cara berfikir dan bertindak semua pihak (sama ada pemimpin, pembesar, penjawat awam, peniaga dan masyarakat setempat) bagaimana mahu merebut  peluang keemasan untuk menjadikan Kampung Gajah sebagai destinasi durian antarabangsa kini dan masa depan.

Usaha ke arah ini pernah dilakukan oleh Tun Ramli Ngah Talib ketika beliau menjadi Menteri Besar Perak. Bagaimanapun  inisiatif itu  tidak diteruskan oleh pengganti beliau selepas itu.

Pada sidang media di Thailand, Patimoh menyatakan hasrat untuk membawa rombongan rasmi kerajaan Thai  ke Kampung Gajah sebagai sokongan kepada Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025.

Dalam konteks perpaduan negara dan antarabangsa, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sepatutnya menjadikan festival itu sebagai platform untuk menyemarakkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya.

Melalui artikel saya ini, saya menunggu respon Menteri Perpaduan Negara dan Ketua Setiausahanya yang baru mengenai perkara ini. Saya berharap  mereka juga menyokong dan menyertai kami. Saya menunggu. Durian Unites Us (Durian Menyatukan Kita).

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.

 


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img