Anthony Loke tegaskan pendirian: Najib pulang ke rumah, saya berundur

SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke, menegaskan keputusan beliau untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan bukan sekadar tindakan politik atau lakonan, sebaliknya pendirian itu akan dilaksanakan sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pulang menjalani baki hukuman di rumah.

Anthony berkata, tarikh kuat kuasa peletakan jawatan itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menyerahkan surat peletakan jawatan pada 28 September lalu.

Menurutnya, beliau tetap dengan pendirian tersebut walaupun keputusan itu mendapat pelbagai reaksi, termasuk dakwaan bahawa langkah berkenaan hanya bertujuan meraih perhatian politik.

“Sudah tentu ada pihak mendakwa ini sekadar lakonan, tindakan politik dan sebagainya.

“Namun saya tetap berpegang pada pendirian ini, sebaik sahaja beliau (Najib) pulang ke rumah, saya mesti berundur.

“Saya tidak akan berdolak-dalik. Beliau pulang, saya pergi,” katanya dalam wawancara bersama The Straits Times.

Pada 19 September lalu, Anthony mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai tindak balas DAP terhadap keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.

Beliau kemudian menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar pada 28 September. Bagaimanapun, penjelasan pada 29 September bahawa peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa selepas Najib menjelaskan denda RM50 juta mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak.

Pada 18 September, Najib dibenarkan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah, tertakluk kepada syarat menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan susulan sabitan dalam kes SRC International.

Dalam wawancara sama, Anthony turut menyentuh kedudukan DAP dalam landskap politik negara, dengan mengakui sokongan kukuh pengundi Cina kepada parti itu masih belum mencukupi untuk membolehkan DAP membentuk Kerajaan Persekutuan secara bersendirian.

Beliau berkata, keadaan itu memerlukan DAP terus membina kesepakatan dengan parti lain dalam gabungan, walaupun pada masa sama perlu mengambil kira kekecewaan yang semakin dirasai sebahagian penyokong teras parti.

Anthony menegaskan DAP tidak akan mengambil mudah sokongan masyarakat Cina, namun realiti politik Malaysia memerlukan parti itu bekerjasama dengan rakan politik lain bagi membentuk kerajaan.

“Kami tahu situasi ini kadang-kadang menyulitkan, namun itulah hakikat politik Malaysia.

“DAP tidak boleh membentuk kerajaan secara bersendirian tanpa bekerjasama dengan parti lain.

“Ini hakikat yang perlu kita terima, kita hanya boleh berusaha sejauh mungkin, bergantung pada hujah yang objektif dan meyakinkan untuk mencapai sesuatu dalam sistem,” katanya.

Mengulas kemungkinan kerjasama selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), Anthony berkata, DAP tidak menutup pintu kepada mana-mana parti, termasuk Pas, UMNO dan Bersatu walaupun terdapat bantahan daripada sebahagian ahli akar umbi.

Katanya, keputusan DAP bekerjasama dengan UMNO selepas PRU-15 tahun 2022 sehingga membentuk Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar membuktikan hubungan antara parti boleh berubah mengikut keadaan politik semasa.

“Saya tidak menutup pintu kepada sesiapa. Saya memegang prinsip bahawa politik kini perlu bersifat anjal.

“Sudah tentu ia bukan tanpa prinsip atau prasyarat kerana ia bergantung kepada keadaan dan apa yang terbaik untuk negara bergerak ke hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony menyatakan keyakinan bahawa naratif penyatuan Melayu yang dibawa UMNO dan Pas tidak semestinya mampu bertahan berdasarkan perkembangan politik dan trend pilihan raya.

Beliau menyifatkan kekalahan di Negeri Sembilan sebagai satu `hikmah di sebalik duka’ buat DAP, sambil mempersoalkan tindakan UMNO dan Pas selepas menggunakan naratif penyatuan Melayu serta pembentukan kerajaan negeri yang kukuh.

“Mereka (UMNO-Pas) bercakap mengenai penyatuan Melayu dan pembentukan kerajaan negeri yang kukuh untuk menyelesaikan kemelut istana. Apakah keputusan yang mereka buat? Mereka menyingkirkan pemerintah negeri.

“Kini, orang Melayu di seluruh negara boleh melihat sendiri tindakan kerajaan UMNO-Pas itu. Mesejnya, DAP terlepas daripada beban ini buat masa ini.

“Maksudnya, momentum penyatuan Melayu tidak semestinya dapat dipertahankan dari segi trend pilihan raya,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here