Menteri Minyak Iran, Mohsen Paknejad umum letak jawatan

MENTERI Minyak Iran, Mohsen Paknejad mengumumkan peletakan jawatannya ketika negara itu berdepan tekanan sekatan Amerika Syarikat (AS) yang semakin ketat terhadap sektor minyaknya.

Menurut Anadolu Ajansi, agensi berita Tasnim melaporkan perkara itu dengan memetik kenyataan pegawai presiden Iran.

Timbalan Ketua Komunikasi Pejabat Presiden Iran, Mehdi Tabatabaei berkata, Presiden Masoud Pezeshkian telah menerima peletakan jawatan Paknejad.

Katanya, Hamid Bovard dilantik sebagai pemangku Menteri Minyak bagi mengendalikan urusan kementerian berkenaan.

Bagaimanapun, tiada alasan diberikan berhubung keputusan Paknejad untuk meletakkan jawatan.

Bovard sebelum ini pernah mengetuai Syarikat Minyak Nasional Iran (NIOC) milik kerajaan dan mempunyai pengalaman luas dalam operasi medan minyak.

Peletakan jawatan itu berlaku ketika sektor minyak Iran berdepan sekatan AS yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Sebelum ini, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, Iran tidak lagi mempunyai penghantaran minyak melalui laut dan dijangka tidak memperoleh sebarang hasil daripada minyak pada minggu berkenaan.

Pada 25 Ogos lalu, Jabatan Perbendaharaan AS turut mengumumkan pelancaran “Operasi Economic Outcast”, iaitu kempen besar-besaran bagi mengasingkan Iran daripada sistem kewangan global.

AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari lalu, sebelum Tehran bertindak balas menerusi serangan peluru berpandu dan dron di beberapa kawasan di rantau berkenaan.

Iran turut menutup Selat Hormuz secara berkesan, laluan strategik yang menjadi antara laluan utama bekalan tenaga dunia.

Susulan itu, tentera AS mengenakan sekatan tentera laut terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran.

Usaha bagi menamatkan konflik berkenaan masih diteruskan selepas termeterainya perjanjian rangka kerja pada Jun lalu yang bertujuan membuka jalan kepada perjanjian damai muktamad.

Perjanjian itu dijangka turut merangkumi isu pelayaran melalui laluan strategik berkenaan serta program nuklear Iran.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here