Peniaga ikan intai isteri jiran mandi, didenda RM5,000

SEORANG peniaga ikan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Krai hari ini selepas mengaku bersalah menghendap secara berulang kali seorang wanita berusia 26 tahun, termasuk mengintainya ketika sedang mandi, hujung bulan lalu.

Tuan Ahmad Farid Tuan Mat, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghendap secara berulang kali dengan berlegar-legar di kediaman mangsa sebelum mengintai melalui celahan lantai kayu bahagian bawah rumah.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat menyebabkan atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatannya menyebabkan mangsa mengalami ketakutan, kerisauan atau kebimbangan terhadap keselamatan diri.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di daerah ini kira-kira jam 11.30 pagi, 28 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Noor, memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farazalila Fauzi, memohon denda minimum dengan alasan tertuduh masih bujang, bekerja sebagai peniaga ikan dengan pendapatan RM50 sehari dan perlu menanggung ibunya, 66, yang menghidap kanser.

“Pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa dan kos semua pihak,” katanya, lapor Sinar Harian.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM5,000 atau penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh membayar denda tersebut.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ternampak kelibat tertuduh berada di bawah lantai bahagian dapur rumahnya sebelum menyedari lelaki itu mengintai dari arah berkenaan.

Mangsa yang mengenali tertuduh kerana tinggal bersebelahan rumahnya kemudian ternampak lelaki itu mengintai melalui celahan ruang udara di dalam bilik air ketika dia sedang mandi.

Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada suaminya sebelum lelaki berkenaan bersemuka dengan tertuduh, namun Tuan Ahmad Farid terus melarikan diri.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here