HUKUMAN penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap seorang pesara polis yang disabitkan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun kekal selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya hari ini.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersama K Muniandy dan Dean Wayne Daly membuat keputusan sebulat suara selepas mendapati terdapat asas kukuh untuk mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap lelaki berusia 76 tahun itu.
Dalam penghakimannya, Azman berkata, keterangan mangsa adalah konsisten dan disokong oleh laporan polis yang dibuat bapanya serta laporan perubatan.
Beliau berkata, walaupun mangsa masih kanak-kanak ketika kejadian dan hanya berusia lapan tahun ketika memberi keterangan di mahkamah, keterangannya tetap mempunyai nilai pembuktian yang kukuh.
Menurutnya, perbuatan tersebut bukan sahaja mengakibatkan kecederaan fizikal kepada mangsa, malah meninggalkan kesan psikologi yang mendalam.
“Undang-undang wujud sebagai benteng keadilan bagi melindungi insan yang lemah. Dalam kes ini, mangsa ialah seorang kanak-kanak yang tidak berupaya melawan atau memahami sepenuhnya apa yang dilakukan oleh perayu,” katanya, lapor Sinar Harian.
Azman turut menegaskan faktor usia seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan perbuatan terhadap kanak-kanak, selain hukuman yang dikenakan berfungsi sebagai peringatan kepada tertuduh dan masyarakat.
Mahkamah kemudian mengeluarkan waran pemenjaraan bagi membolehkan pesara polis berkenaan mula menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.
Sebelum ini, lelaki berkenaan hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda selepas memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman dan dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan diputuskan.
Pada 19 April 2024, Mahkamah Sesyen Kuantan mensabitkan lelaki itu atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di daerah Kuantan pada 2020.
Mahkamah Sesyen kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan, sebelum Mahkamah Tinggi pada 27 Januari lalu mengekalkan keputusan berkenaan.
Dalam prosiding hari ini, pesara polis itu diwakili peguam Mohd Rusnizam Abdullah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar.





