Kanak-kanak 20 bulan dilapor hilang semalam ditemukan selamat hari ini

SEORANG  kanak-kanak lelaki berusia 20 bulan yang dilaporkan hilang sejak petang semalam ditemukan selamat pagi tadi dalam keadaan menangis dan hanya memakai lampin pakai buang di kawasan ladang getah di Kampung Bechah Salak, Kuala Krai, hari ini.

Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul Najmi ditemukan seorang pekerja ladang pada 10.20 pagi, kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian Zulhilmi Baharudin berkata mangsa ditemukan dalam keadaan berdiri sambil menangis tanpa berbaju.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula malam tadi melibatkan anggota bomba, polis serta penduduk kampung, dengan kawasan pencarian pada awalnya meliputi sekitar rumah mangsa, kolam dan kawasan hutan berhampiran.

“Bagaimanapun, kami tidak menyangka mangsa ditemukan agak jauh dari kediamannya, iaitu di kawasan ladang getah berbukit dan agak curam. Ketika ditemukan, mangsa mengalami sedikit luka pada bahagian kaki yang dipercayai akibat gigitan pacat sebelum dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Zulhilmi berkata lokasi penemuan itu turut mengejutkan pihaknya kerana berdasarkan usia mangsa, agak sukar untuk kanak-kanak berkenaan bergerak sehingga ke kawasan terbabit.

Beliau berkata pihaknya bersyukur mangsa ditemukan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius selepas dipercayai berada di kawasan itu sejak dilaporkan hilang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here