Myanmar sedia terima kembali secara besar-besaran warganya, sanggup tanggung kos – PM

MYANMAR bersedia memudahkan proses penghantaran pulang warganya secara besar-besaran dan menanggung kos berkaitan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini, lebih 10,493 warga dan petugas Myanmar telah dihantar pulang ke negara itu menerusi penerbangan dan kapal tentera laut, manakala urusan penghantaran pulang seterusnya akan dirundingkan antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan kementerian berkaitan di Myanmar.

Beliau berkata Malaysia menghargai kesediaan Myanmar menerima kembali warganya, sambil menyatakan bahawa amat sedikit negara yang sanggup menerima penghantaran pulang rakyat mereka dalam jumlah besar dengan menanggung kos sendiri.

“Sangat sedikit, malah berdasarkan pengalaman saya, hampir tiada negara yang sanggup menerima penghantaran pulang warganya dalam jumlah besar dengan menanggung sendiri kosnya, seperti yang ditunjukkan Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama di Putrajaya hari ini, sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Myanmar Min Aung Hlaing, yang bermula semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata baki rakyat Myanmar akan dihantar pulang mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan, tertakluk kepada pengesahan rekod mereka.

Perdana Menteri berkata Min Aung Hlaing turut memaklumkan bahawa antara 3,000 hingga 4,000 warga Myanmar yang kini berada di depot imigresen akan dihantar pulang ke negara berkenaan.

Beliau berkata pihak berkuasa berkaitan perlu mengesahkan kewarganegaraan dan rekod mereka, termasuk rekod jenayah sekiranya ada, sebelum proses penghantaran pulang dapat diselesaikan.

Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Myanmar atas kerjasama yang diberikan, khususnya dalam memudahkan penghantaran pulang rakyatnya.

“Saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan atas keterbukaan anda dan kesediaan untuk bekerjasama,” katanya.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan beberapa isu utama termasuk usaha menghantar pulang warga Myanmar daripada semua kumpulan etnik yang berada di Malaysia secara tidak sah, berasaskan prinsip sukarela, bermaruah dan selamat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here