Bekas pegawai MDM dipenjara setahun, denda RM75,000 salah guna jawatan

BEKAS Ketua Jabatan Perbendaharaan Majlis Daerah Marang (MDM) dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM75,000 selepas didapati bersalah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berkaitan pembekalan karpet bernilai RM10,640.

Hukuman terhadap Sazawati Salleh, 53, diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Azman Mustapha hari ini selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tujuh bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan syarat tertuduh memfailkan notis rayuan dan menyediakan seorang penjamin bagi menjamin kehadirannya.

Permohonan menangguhkan pembayaran denda pula ditolak dan tertuduh telah menjelaskan RM75,000 berkenaan, lapor Buletin TV3.

Mengikut pertuduhan, Sazawati yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Jabatan Perbendaharaan MDM didakwa menggunakan jawatannya untuk mengesyorkan sebuah syarikat bagi membekalkan karpet bernilai RM10,640 kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Bagaimanapun, pembekalan itu sebenarnya dilaksanakan oleh sebuah syarikat milik suaminya, meskipun dokumen perolehan menyatakan syarikat yang disyorkan sebagai pembekal.

Kesalahan itu didakwa berlaku sekitar Januari 2021 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dalam alasan penghakimannya, mahkamah mendapati keterangan menunjukkan suami tertuduh sendiri melaksanakan pembekalan karpet berkenaan dengan menggunakan dokumen syarikat yang disyorkan.

Suami tertuduh turut mengakui menggunakan dokumen syarikat terbabit bagi tujuan pembekalan itu.

Mahkamah juga mengambil kira kegagalan tertuduh mendapatkan sebut harga daripada sekurang-kurangnya tiga pembekal seperti yang ditetapkan, sebaliknya hanya memaklumkan mengenai perolehan berkenaan kepada suaminya.

Selain itu, tertuduh didapati tidak pernah berhubung secara langsung dengan pemilik syarikat yang disyorkan berhubung urusan perolehan, sebaliknya segala urusan pembekalan dibuat melalui suaminya.

Berdasarkan keseluruhan keterangan, mahkamah berpendapat tertuduh mengetahui suaminya mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam pembekalan karpet berkenaan.

Terdahulu, tertuduh pernah dibebaskan pada 24 Jun 2025 selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan pada 26 Jun 2025 dan Mahkamah Tinggi pada 8 April 2026 membenarkannya selepas mendapati hakim terdahulu terkhilaf dalam keputusan berkenaan.

Kes itu kemudiannya dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tertuduh membela diri, dengan anggapan di bawah Seksyen 23(2) Akta SPRM 2009 diaktifkan.

Pada peringkat pembelaan, Sazawati menjadi satu-satunya saksi yang memberikan keterangan bagi pihaknya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar dan Nur Amalina Najwa Mohd Ali serta Pegawai Pendakwa Nur Raihan Mohd Yusof, manakala tertuduh diwakili Datuk Sukri Mohamed dan Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here