SPRM mahu risiko rasuah dikenal pasti lebih awal

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu usaha mencegah rasuah diperkukuh dengan mengenal pasti serta menangani kelemahan yang berpotensi membuka ruang kepada perbuatan itu sebelum menjadi lebih serius.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, keberkesanan suruhanjaya itu tidak seharusnya hanya dilihat berdasarkan jumlah siasatan, tangkapan atau pertuduhan, sebaliknya turut mengambil kira perubahan dan kesan daripada tindakan yang dilaksanakan.

DATUK Seri Abd Halim Aman. GAMBAR: SPRM

Beliau berkata, kerjasama antara bahagian penguatkuasaan dan pencegahan perlu dipertingkatkan bagi membolehkan maklumat, risikan serta pengalaman dikongsi dan diterjemahkan kepada tindakan yang lebih pantas serta berkesan.

“Fokus perlu diberikan kepada perkara yang boleh mencetuskan risiko rasuah termasuk kelemahan prosedur kerja, ruang budi bicara, akses kepada sumber serta tahap keberkesanan kawalan dan pemantauan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM Bil. 3/2026 di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

DATUK Seri Abd Halim Aman mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM Bil. 3/2026 di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini. GAMBAR: SPRM

Menurut Abd Halim, penggunaan teknologi, data dan analitik juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu mengenal pasti pola, trend serta risiko rasuah pada peringkat awal.

Katanya, bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa sentiasa berubah mengikut perkembangan teknologi serta kaedah baharu, justeru pendekatan SPRM perlu kekal dinamik dan responsif.

Dalam masa sama, beliau berkata, kompetensi warga SPRM perlu diperkasa menerusi peningkatan kemahiran, keupayaan analitikal, pemahaman undang-undang serta penghayatan nilai integriti dan profesionalisme.

Abd Halim turut menggalakkan warga SPRM supaya berani melaporkan kelemahan dan risiko yang dikenal pasti agar tindakan dapat diambil dengan segera.

“Organisasi yang kukuh ialah organisasi yang berani mengenal pasti dan menyelesaikan masalah secara terbuka, profesional dan bertanggungjawab,” katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman serta pengarah kanan, pengarah bahagian dan SPRM negeri.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here