HAD pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 selepas kali terakhir disemak pada 2010.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak satu mata peratusan.
“Banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000-RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus. Banjaran pendapatan bercukai antara RM100,000-RM150,000 dikurangkan kepada 24 peratus.
“Pelepasan cukai individu turut diperluas. Rawatan perubatan diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin. Penjagaan ibu bapa dan datuk nenek diperluas meliputi semua perbelanjaan penjagaan dan tidak lagi terhad kepada kesihatan.
“Peralatan sukan meliputi pembelian kasut sukan. Yuran pengajian dan kemahiran diperluas meliputi semua bidang pengajian dan tuisyen anak.
“Gaya hidup diperluas merangkumi langganan AI (kecerdasan buatan) serta kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.





