HARGA runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun 25 sen seliter bagi tempoh 26 Nov hingga 2 Dis ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga RON97 turun daripada RM4 seliter kepada RM3.75 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi daripada RM3.72 seliter kepada RM3.47 seliter.
Harga runcit diesel tanpa subsidi pula menurun daripada RM4.72 seliter kepada RM4.47 seliter.
Menurut MOF, harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau menunjukkan penyederhanaan sepanjang tempoh pengiraan APM, sekali gus mengurangkan tekanan harga dalam pasaran petroleum antarabangsa.
“Pada masa sama, prospek peningkatan bekalan minyak mentah global turut mempengaruhi penyusutan harga minyak dunia. Bagaimanapun, bekalan produk petroleum bertapis masih berdepan dengan beberapa kekangan di pasaran tertentu. Ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan penghantaran petroleum masih boleh menjejaskan bekalan global. Sehubungan dengan itu, harga petroleum dunia dijangka terus mengalami turun naik dalam tempoh terdekat,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kerajaan MADANI kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan menerusi pelaksanaan subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI, dengan peruntukan hampir RM40 bilion disediakan bagi subsidi bahan api tahun hadapan untuk membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Menerusi BUDI95, penerima yang layak terus menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM3.47 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi RM1.48 seliter atau 43 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Bagi BUDI Diesel pula, penerima yang layak terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.47 seliter, manakala subsidi yang disalurkan kerajaan adalah sebanyak RM2.37 seliter atau 53 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Selain itu, harga bahan api bersubsidi bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal pada RM2.15 seliter.
MOF memaklumkan rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, tertakluk pada had kelayakan bulanan.
Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemat bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.





