KIRA-kira 600,000 rakyat yang mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing bakal menikmati peningkatan pendapatan bersih serta perlindungan kebajikan menerusi pakej bernilai RM160 juta yang dilaksanakan mulai 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakej itu akan dibiayai bersama oleh kerajaan dan Grab, merangkumi peningkatan kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif itu diperkenalkan sementara Majlis Perundingan Gig meneruskan rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial untuk pekerja gig.
“Ketetapan berhubung perkara itu dijangka dimuktamadkan pada awal 2027 bagi memastikan kebajikan pekerja gig dapat dilindungi secara lebih menyeluruh,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.





