KERAJAAN meningkatkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI kepada RM750 juta berbanding RM630 juta sebelum ini, dengan sasaran 35,000 penganjuran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, 30,000 program Jualan Rahmah akan dilaksanakan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, tumpuan diberikan kepada kawasan desa, perumahan kos rendah dan projek perumahan rakyat (PPR) di bandar bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
“Sebanyak 5,000 program Jualan Agro MADANI pula akan menawarkan hasil pertanian segar seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan memperuntukkan RM250 juta bagi memperluas pengedaran barangan asas ke kawasan desa dan pedalaman.
Beliau berkata, usaha itu meliputi enam lokasi baharu, termasuk Kampung Terian di Penampang, Sabah, dan Kampung Dato’ Godam di Pusa, Sarawak.





