Belanjawan 2027: Bantuan pembaikan rumah mangsa bencana naik kepada RM10,000

KERAJAAN bersetuju meningkatkan kadar bantuan pembaikan rumah mangsa bencana daripada RM5,000 kepada RM10,000 menerusi Belanjawan 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan sebanyak RM5,000 atau 100 peratus itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menangani risiko bencana dengan lebih awal.

“Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar bantuan pembaikan rumah mangsa bencana daripada RM5,000 kepada RM10,000,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM260 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurutnya, kerajaan setakat ini berjaya menyiapkan enam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM336 juta, manakala 82 projek lagi sedang dilaksanakan mengikut jadual.

“Bagi 2027, antara projek baharu yang akan dilaksanakan termasuk RTB Bandaraya Kuching, Sarawak; Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2, Kelantan; serta PLSB Sungai Kemaman, Terengganu.

“Selain itu, hampir RM320 juta turut diperuntukkan bagi kerja pembaikan dan menaik taraf cerun, parit serta longkang di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here