Ops Tebuan: Polis rampas pelbagai jenis dadah RM18.16 juta

POLIS menahan tujuh lelaki termasuk seorang keldai dadah kerana disyaki terlibat sindiket penyeludupan dadah antarabangsa menerusi Ops Tebuan, membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM18.16 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata semua suspek, terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 34 hingga 58 tahun ditahan menerusi tujuh siri serbuan di Perak, Selangor dan Kedah antara 1 Sept hingga 4 Okt lepas.

Beliau berkata tangkapan pertama dilakukan di depan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada 1 Sept, membabitkan suspek warga asing bersama 50 bungkusan lut sinar berisi ketulan mampat bunga ganja seberat 26.2 kilogram (kg).

“Lelaki ini dijadualkan membawa dadah itu dari Lapangan Terbang Ipoh sebelum transit di Singapura dan akan ke London,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur Kuala Lumpur, hari ini.

Susulan itu, Hussein berkata enam lagi suspek ditahan dalam enam siri serbuan di Selangor dan Kedah pada 30 Sept dan 4 Okt, melibatkan rampasan 210kg dadah jenis methamphetamine dan 69kg bunga ganja.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan mendapat bekalan dadah daripada negara jiran di utara Semenanjung Malaysia, sebelum diedarkan sekitar Lembah Klang untuk pasaran tempatan dan turut menghantarnya kepada keldai dadah untuk diseludup keluar negara melalui laluan udara,” katanya.

Beliau berkata sindiket yang aktif sejak Julai lepas itu dipercayai membayar upah antara RM5,000 hingga RM20,000 kepada keldai dadah terbabit.

Hussein berkata suspek pertama telah dituduh di mahkamah pada 8 Sept, manakala enam suspek lain dituduh pada 8 Okt di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, lima lelaki warga asing ditahan dalam Ops Plecoptera selepas disyaki menyeludup masuk dadah dari India ke negara ini bernilai RM1.92 juta.

Hussein berkata semua suspek berusia antara 21 hingga 43 tahun itu, ditahan menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 20 Sept lepas dengan polis merampas 38kg dadah jenis ketamin dan 0.038kg bunga ganja.

Beliau berkata dadah dibawa dari Chennai, India ke Malaysia, dengan suspek berjaya melepasi pemeriksaan di lapangan terbang di Chennai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Dalam satu lagi kes, Hussein berkata tiga lelaki tempatan ditahan dalam Ops Tongkol kerana disyaki menjadikan kawasan parkir sebuah pusat beli-belah sebagai lokasi serahan dadah bernilai RM5.6 juta.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here