JENDELA buka peluang ekonomi digital, perkasa masyarakat luar bandar

AKSES internet yang stabil dan berkualiti semakin menjadi faktor penting dalam membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar, termasuk usahawan kecil, pekerja gig dan individu yang bekerja secara dalam talian.

Ketua Program Diploma Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS), Norazirawati Ahmad berkata, pembangunan infrastruktur digital menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) membantu menyediakan asas yang diperlukan masyarakat untuk menyertai ekonomi digital.

Menurut beliau, usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperluas akses digital perlu dilihat bukan sekadar dari sudut teknologi, tetapi juga dari segi peluang ekonomi yang boleh diwujudkan.

NORAZIRAWATI Ahmad

“Internet yang stabil boleh menjadi modal ekonomi kepada individu dan keluarga kerana ia membolehkan mereka mencari pekerjaan, menerima tempahan, memasarkan produk dan menawarkan perkhidmatan kepada pasaran yang lebih luas,” katanya kepada UtusanMelayuPlus baru-baru ini.

Beliau berkata, peluang tersebut amat relevan kepada usahawan kecil dan pekerja ekonomi gig yang banyak bergantung kepada platform digital.

Golongan freelancer dan individu yang bekerja dari rumah juga boleh memanfaatkan kemudahan internet untuk menawarkan perkhidmatan tanpa terikat kepada pasaran setempat.

Menurut Norazirawati, perkembangan itu secara tidak langsung mengubah kedudukan masyarakat luar bandar daripada sekadar pengguna teknologi kepada peserta aktif dalam ekonomi digital.

Bagaimanapun, beliau berkata, perluasan infrastruktur ke kawasan pedalaman mempunyai cabaran tersendiri, terutama disebabkan bentuk muka bumi, keluasan kawasan dan kos pembangunan.

“Ada kawasan yang bentuk mukanya mencabar dan memerlukan pendekatan khusus. Sebab itu usaha memperluas capaian perlu mengambil kira keadaan setempat,” katanya.

Beliau menyifatkan kesinambungan usaha MCMC penting bagi memastikan komuniti yang sukar dicapai terus mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi digital.

Pada masa sama, katanya, kemudahan seperti NADI boleh melengkapkan pembangunan infrastruktur dengan menyediakan ruang pembelajaran serta latihan kepada masyarakat.

Menurutnya, pendedahan dan latihan penting supaya masyarakat bukan sahaja mengetahui kewujudan kemudahan internet, tetapi mampu menggunakannya untuk meningkatkan kehidupan dan pendapatan.

Beliau mencadangkan program latihan digital disesuaikan dengan keperluan setempat, termasuk pemasaran digital, keusahawanan, penggunaan aplikasi dan kemahiran bekerja secara dalam talian.

Menurut Norazirawati, kejayaan JENDELA akhirnya bukan hanya diukur berdasarkan sejauh mana rangkaian diperluaskan, tetapi melalui sejauh mana masyarakat menggunakan akses tersebut untuk mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan membina perniagaan baharu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here