JENDELA rapatkan jurang digital, buka peluang baharu untuk rakyat

PELAN Jalinan Digital Negara (JENDELA) bukan sekadar usaha memperluas capaian Internet, malah menjadi antara pemangkin penting dalam membantu merapatkan jurang digital serta membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat di seluruh negara.

Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Suria Hani A Rahman berkata, usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh infrastruktur digital menerusi JENDELA memberi manfaat yang semakin luas kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.

DR Suria Hani A Rahman. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Menurut beliau, Internet kini bukan lagi sekadar kemudahan komunikasi, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan yang merangkumi pendidikan, pekerjaan, perniagaan dan pelbagai urusan harian.

“Hari ini, akses Internet yang lebih baik memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk mendapatkan maklumat, mengikuti pembelajaran dalam talian dan menjalankan pelbagai urusan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan di kawasan bandar.

“Ini menunjukkan usaha memperluas akses digital mempunyai kesan yang lebih besar terhadap kehidupan masyarakat,” katanya ketika ditemui UtusanMelayuPlus baru-baru ini.

Dr Suria Hani berkata, pendidikan merupakan antara sektor yang menerima manfaat besar apabila pelajar mempunyai akses kepada sumber pembelajaran yang lebih luas.

Pembelajaran secara dalam talian dan hibrid turut memberi fleksibiliti kepada mereka yang bekerja sambil melanjutkan pengajian.

Dalam bidang ekonomi pula, kata beliau, capaian Internet membolehkan usahawan kecil dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memasarkan produk serta perkhidmatan kepada pasaran yang lebih luas.

Menurut beliau, masyarakat luar bandar bukan lagi sekadar pengguna teknologi, sebaliknya berpeluang menjadi usahawan digital, pencipta kandungan dan peserta aktif dalam ekonomi digital negara.

Kemudahan Internet turut memudahkan hubungan antara keluarga, akses kepada maklumat kesihatan serta penggunaan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha memperkukuh ekosistem digital wajar diteruskan secara berperingkat bagi memastikan manfaat pembangunan infrastruktur dapat diperluas mengikut keperluan dan keadaan setempat.

Kawasan pedalaman, termasuk sesetengah lokasi di Sabah dan Sarawak serta penempatan Orang Asli, memerlukan pendekatan khusus berdasarkan faktor geografi dan bentuk muka bumi.

Selain liputan, beliau berkata, aspek kelajuan, kestabilan dan kapasiti rangkaian juga penting bagi memastikan pengalaman pengguna terus berkualiti.

“Yang penting bukan sekadar Internet tersedia, tetapi masyarakat dapat menggunakannya dengan baik dan konsisten untuk keperluan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Dr Suria Hani menekankan bahawa pembangunan infrastruktur perlu bergerak seiring dengan peningkatan literasi digital.

Menurutnya, kemudahan seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) boleh melengkapkan usaha JENDELA dengan menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mempelajari serta menggunakan teknologi secara produktif.

Beliau berpandangan, usaha MCMC menerusi JENDELA wajar dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina masyarakat yang lebih berdaya saing.

“Ukuran akhirnya bukan hanya berapa luas liputan yang tersedia, tetapi bagaimana kemudahan itu membantu meningkatkan peluang pendidikan, pekerjaan, perniagaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here