
Oleh Dr Masrina Nadia Mohd Salleh
BELANJAWAN 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam wajar dinilai bukan sahaja berdasarkan saiz peruntukan atau unjuran pertumbuhan ekonomi, tetapi juga sejauh mana dasar fiskal mampu memelihara kuasa beli, meredakan tekanan kos sara hidup dan membina ketahanan kewangan isi rumah.
Dalam konteks ini, golongan berpendapatan pertengahan atau M40 wajar diberi perhatian. Berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), M40 merujuk kepada isi rumah berpendapatan kasar bulanan antara RM5,251 hingga RM11,819. Namun, pendapatan kasar yang lebih tinggi berbanding B40 tidak semestinya menggambarkan kemampuan kewangan sebenar.
Ramai keluarga M40 menanggung pinjaman perumahan dan kenderaan, kos pendidikan anak, penjagaan ibu bapa, kos kesihatan serta simpanan persaraan. Selepas komitmen ini ditolak, baki untuk simpanan dan perbelanjaan pilihan mungkin jauh lebih kecil daripada yang digambarkan oleh pendapatan kasar.
Persoalan dasar yang lebih tepat bukanlah sama ada M40 lebih kaya daripada B40, tetapi bagaimana belanjawan memenuhi keperluan yang berbeza tanpa mengabaikan golongan yang masih terdedah kepada tekanan kewangan.
Apa yang diterima M40?
Tanggapan bahawa M40 langsung tidak menerima manfaat kerajaan perlu diperhalusi. Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang diterbitkan Kementerian Kewangan pada 18 Ogos 2026 mengiktiraf M40 sebagai tumpuan, termasuk penurunan kadar cukai pendapatan sebanyak dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai RM35,001 hingga RM100,000 sejak 2023, serta pelepasan cukai bagi pendidikan awal kanak-kanak, rawatan anak kurang upaya pembelajaran dan premium insurans.
Belanjawan 2027 pula memperkenalkan SARA MADANI bernilai RM100 sebanyak dua kali kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah, termasuk golongan M40, melibatkan sehingga 13 juta orang.
Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, manakala pengecualian penuh duti setem dicadangkan bagi rumah pertama berharga sehingga RM500,000.
Persoalannya kini ialah sama ada manfaat ini mencukupi. Dua keluarga dengan pendapatan bulanan yang sama boleh berada dalam kedudukan kewangan yang sangat berbeza bergantung pada bilangan tanggungan, lokasi kediaman dan komitmen hutang.
Penilaian kesejahteraan M40 perlu mengambil kira pendapatan boleh guna, tanggungan dan keupayaan menghadapi kecemasan kewangan, bukan kategori pendapatan semata-mata.
Pendapatan kekal lawan bantuan sementara
Milton Friedman, menerusi A Theory of the Consumption Function (1957), mengemukakan Permanent Income Hypothesis yang menjelaskan bahawa corak penggunaan isi rumah ditentukan terutamanya oleh jangkaan pendapatan jangka panjang atau pendapatan kekal, bukan pendapatan semasa.
Pendapatan sementara, seperti bantuan one-off, cenderung memberi kesan lebih kecil terhadap penggunaan dan kestabilan kewangan jangka panjang.
Implikasinya kepada penilaian Belanjawan 2027 jelas. Kredit SARA MADANI dan bantuan persekolahan penting untuk meredakan tekanan semasa, tetapi sifatnya sementara.
Perubahan yang lebih struktur, seperti kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027 dan cadangan gaji minimum RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, berpotensi mengubah jangkaan pendapatan kekal pekerja.
Namun, kesannya bergantung pada pelaksanaan. Perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada kadar baharu itu bagi memberi ruang penyesuaian. Ini bermakna sebahagian pekerja mungkin tidak merasai kenaikan tersebut dalam tempoh terdekat.
Pada masa sama, kenaikan pendapatan nominal hanya bermakna jika ia mengatasi kenaikan harga. Justeru, keberkesanan belanjawan perlu diukur melalui perubahan pendapatan boleh guna benar selepas inflasi, bukan sekadar jumlah bantuan atau pelepasan yang diumumkan.
Mengukur kesejahteraan melangkaui pendapatan
Amartya Sen, melalui Capability Approach yang dihuraikan dalam Development as Freedom (1999), berhujah bahawa pembangunan perlu diukur berdasarkan keupayaan sebenar individu untuk menjalani kehidupan yang mereka nilai, bukan pendapatan semata-mata.
Sen turut menekankan faktor penukaran, iaitu keadaan peribadi, sosial dan persekitaran yang menentukan sejauh mana sesuatu sumber dapat diterjemahkan kepada kesejahteraan.
Konsep ini relevan untuk menilai manfaat belanjawan kepada M40. Peruntukan Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI misalnya ditingkatkan kepada RM750 juta dengan sasaran 35,000 penganjuran, dan hasil tani ditawarkan sehingga 30 peratus lebih murah.
Namun, tumpuan penganjuran diberikan kepada kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat. Bagi keluarga M40 di kawasan lain, akses kepada manfaat yang sama mungkin lebih terhad.
Begitu juga dengan pendidikan. Bantuan RM200 setiap murid membantu persiapan awal tahun, tetapi kos pendidikan sebenar merangkumi pengangkutan, makanan, peranti digital dan kelas tambahan. Bagi keluarga dengan anak kurang upaya, kos penjagaan dan terapi pula jauh lebih tinggi. Dasar perlu dinilai berdasarkan sama ada ia benar-benar memperluas peluang, bukan hanya nilai bantuan yang diumumkan.
Perumahan: Kos transaksi dan akses pembiayaan
Pengecualian duti setem yang dicadangkan meliputi pengecualian penuh bagi rumah pertama sehingga RM500,000, manakala bagi rumah sehingga RM750,000, pengecualian penuh diberi untuk RM500,000 pertama dan 50 peratus bagi bakinya, untuk perjanjian jual beli antara 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Syarikat Jaminan Kredit Perumahan pula menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM20 bilion, disasarkan kepada 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya mereka yang bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap.
Langkah ini relevan kepada M40 kerana banyak isi rumah dalam kumpulan ini berada pada jalur harga tersebut. Bagaimanapun, kemampuan memiliki rumah tetap bergantung pada harga rumah, deposit, kadar pembiayaan dan kestabilan pendapatan. Pengurangan kos transaksi membantu, tetapi tidak menyelesaikan isu kemampuan secara menyeluruh.
Mengimbangi bantuan dengan kemampanan fiskal
Bantuan kepada isi rumah berpotensi menyokong penggunaan domestik. Namun, kesannya bergantung pada keadaan ekonomi dan tekanan inflasi; jika permintaan meningkat lebih cepat daripada bekalan, sebahagian manfaat boleh terhakis melalui kenaikan harga.
Kerajaan juga perlu memastikan setiap ringgit perbelanjaan menghasilkan pulangan sosial yang sepadan, tanpa menjejaskan keupayaan membiayai pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial pada masa hadapan.
Bagi M40, peningkatan kemahiran, latihan semula, pekerjaan berkualiti dan laluan kerjaya yang jelas merupakan pelengkap penting kepada bantuan dan pelepasan cukai. Matlamatnya bukan sekadar menambah wang belanja bulan ini, tetapi meningkatkan keupayaan menjana pendapatan dan mengurus risiko kewangan pada masa depan.
Ukuran kejayaan sebenar
Keberkesanan Belanjawan 2027 perlu dinilai melalui petunjuk yang melangkaui jumlah peruntukan dan bilangan penerima. Antaranya pendapatan boleh guna benar selepas inflasi, keupayaan isi rumah menampung perbelanjaan asas, tahap simpanan kecemasan, kestabilan pekerjaan dan akses kepada perlindungan sosial.
Bagi M40, penilaian juga perlu melihat sama ada isi rumah mempunyai ruang lebih besar untuk menyimpan, membiayai pendidikan anak dan bersedia untuk persaraan. Bagi B40 pula, perlindungan daripada kemiskinan kekal keutamaan.
Permanent Income Hypothesis dan Capability Approach memberikan dua lensa yang saling melengkapi. Yang pertama mengingatkan bahawa kestabilan pendapatan lebih bermakna daripada bantuan sementara; yang kedua menuntut agar dasar dinilai berdasarkan keupayaan sebenar rakyat menukar manfaat kepada kehidupan yang lebih baik.
Belanjawan yang inklusif perlu melindungi golongan berpendapatan rendah daripada kemiskinan, sambil memberi ruang kepada golongan pertengahan mengekalkan kestabilan kewangan.
Matlamat akhirnya bukan sekadar membantu rakyat berbelanja hari ini, tetapi membolehkan mereka membina kehidupan yang lebih stabil dan berdaya tahan pada masa hadapan.
* Dr Masrina Nadia Mohd Salleh (Pakar Kewangan) Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)





