Langgar 11 kenderaan di Alam Budiman : Pemandu lori didapati positif dadah

PEMANDU  lori yang terlibat dalam kemalangan melibatkan 11 kenderaan lain di lampu isyarat Persiaran Mokhtar Dahari, Alam Budiman Shah Alam petang semalam, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah berkata berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap lelaki berusia 51 tahun itu mendapati positif dadah jenis amphetamin/methamphetamine.

“Lelaki berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan pemandu lori berkenaan akan direman di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Sarudin berkata siasatan awal mendapati pemandu lori itu mendakwa mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam, kira-kira 4.20 petang.

Beliau berkata lori berkenaan kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat simpang tiga Alam Budiman.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Subaru XV mengalami kecederaan parah di kepala dan sedang menerima rawatan di zon merah Hospital UiTM Puncak Alam.

Isterinya, 53, dan cucu lelaki mereka berusia 17 tahun yang turut berada dalam kenderaan sama juga menerima rawatan di hospital berkenaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi, mengalami kecederaan pada badan dan turut dilaporkan stabil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping, menerusi talian 012-286 3875 bagi membantu siasatan.

Semalam, tular di media sosial rakaman memaparkan kejadian sebuah lori dipercayai telah dipandu melawan arus dan merempuh beberapa kenderaan di persimpangan jalan raya terbabit.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here