Malaysia-Mesir berhasrat perluas kerjasama pendidikan – Anwar

MALAYSIA  dan Mesir berhasrat memperluas kerjasama pendidikan yang tidak terhad kepada pengajian Islam semata-mata, sebaliknya merangkumi bidang kejuruteraan, perubatan, elektrik dan elektronik (E&E), teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedua-dua negara perlu memperluas kerjasama pendidikan yang mencakupi pelbagai disiplin ilmu, selaras dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap kepakaran dalam bidang teknikal dan profesional.

Beliau berkata Universiti Al-Azhar kekal sebagai institusi penting dalam pendidikan Islam, khususnya dalam menerapkan pendekatan sederhana berteraskan konsep Wasatiyyah, namun kerjasama pendidikan juga perlu meliputi bidang pengajian lain.

“Pendidikan perlu merangkumi bidang pengajian yang lain,” kata beliau pada sidang media bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata ramai doktor Malaysia menerima latihan di Mesir, sekali gus mencerminkan hubungan pendidikan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Beliau turut mengiktiraf sumbangan Mesir dalam kerjasama hal ehwal Islam, termasuk sokongan terhadap penubuhan sebuah pusat bahasa Arab di Malaysia susulan lawatan Sheikh Al-Azhar Ahmed El-Tayeb.

Anwar berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan Mesir melalui agensi dan kementerian berkaitan bagi memperkukuh kerjasama dalam hal ehwal Islam.

Perdana Menteri turut menggesa kerjasama pertahanan yang lebih erat, termasuk kolaborasi dalam memenuhi keperluan pertahanan dan latihan bersama.

Terdahulu, Anwar dan rakan sejawatnya mengadakan pertemuan empat mata di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini, sekali gus menandakan langkah penting ke arah meningkatkan hubungan Malaysia-Mesir kepada perkongsian strategik selepas lebih enam dekad menjalinkan hubungan diplomatik.

Pertemuan bersempena dengan lawatan negara dua hari El-Sisi ke Malaysia itu memberikan peluang kepada kedua-dua pemimpin menilai semula kerjasama dua hala, meneroka bidang kerjasama baharu serta bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Presiden Mesir itu tiba di kompleks berkenaan pada 12.58 tengah hari bagi menghadiri beberapa acara rasmi yang bertujuan memperkukuh hubungan politik, ekonomi dan diplomatik antara kedua-dua negara.

Ini ialah lawatan negara pertama El-Sisi ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Jun 2014.

Tahun lepas, Mesir ialah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dalam kalangan negara Afrika, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM3.08 bilion (USD0.72 bilion).

Eksport Malaysia ke Mesir berjumlah RM2.55 bilion (USD0.60 bilion), manakala import bernilai RM530 juta (USD0.12 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, jumlah dagangan kedua-dua negara meningkat 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion (USD0.87 bilion).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here