SEMUA kontrak kerajaan termasuk projek pembinaan sekolah, hospital, universiti dan jalan raya akan didedahkan secara telus mulai tahun depan bagi memperkukuh tadbir urus serta membendung ketirisan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan itu merangkumi maklumat syarikat yang memperoleh kontrak, nilai kontrak, kos projek, kemajuan pelaksanaan serta sebab sesebuah syarikat dipilih berbanding pesaing lain.
Langkah itu bertujuan memastikan rakyat dapat menilai sendiri pelaksanaan projek kerajaan, selain meningkatkan ketelusan dalam penggunaan wang awam.
“Siapa yang mendapat kontrak, berapakah jumlahnya, syarikat mana yang memperoleh kontrak itu, berapakah kosnya, bagaimana perkembangan projek dan mengapa syarikat itu dipilih berbanding pesaing lain.
“Semuanya akan dilaksanakan secara telus dan boleh dibaca serta dilihat oleh semua orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian iFuture 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Mengambil contoh pembinaan sekolah menengah baharu di Tumpat, Kelantan, Anwar berkata, penduduk setempat perlu mengetahui secara terperinci kos tanah, kontraktor yang dilantik serta perkembangan projek berkenaan.
“Biarlah penduduk Tumpat menilai sendiri sama ada sekolah itu dibina oleh kontraktor yang bertanggungjawab atau sebaliknya,” katanya.
Menurutnya, ketelusan dalam pelaksanaan kontrak kerajaan penting bagi memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan baik, sekali gus membolehkan kerajaan menyediakan kemudahan lebih baik khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan.





